TAPAH - Suami kepada pendaki wanita yang hilang di Gunung Batu Putih, Jaslinda Saludin, 49, memilih untuk terus berada di pusat kawalan operasi mencari dan menyelamat (SAR) sejak hari pertama kehilangan isterinya, 23 Mei lalu.
Nurr Ashikin Haszman, 29, berkata, bapanya, Haszman Othman, 61, enggan meninggalkan kawasan tersebut selagi mangsa belum ditemukan.
Beliau yang merupakan anak tiri Jaslinda berkata, ahli keluarga turut bergilir-gilir datang ke Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) di Surau At-Taqwa, Stesen Janakuasa Sultan Idris II Woh di sini bagi memberi sokongan moral kepada Haszman serta anak-anak Jaslinda.
**media[3534853]**
ARTIKEL BERKAITAN: Kronologi kehilangan Jaslinda
Pasukan SAR bermalam di puncak, operasi jejak Jaslinda dipergiat
Pasukan SAR jumpa botol air, bungkusan milik Jaslinda
Ops Gunung Batu Putih: Jaslinda mungkin tersasar, pencarian diteruskan
Ops Gunung Batu Putih: Operasi ditangguhkan, pencarian esok fokus Gunung Rayu
“Memang dari hari pertama lagi ayah dan adik ada di sini. Ahli keluarga lain datang bergilir-gilir bawa pakaian dan makanan untuk beri sokongan.
**media[3534854]**
“Kita cuba kuatkan semangat antara satu sama lain sebab dalam situasi seperti ini mereka sangat memerlukan sokongan,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini pada Jumaat.
Jaslinda mempunyai tiga anak berusia antara 26 hingga 11 tahun dan ketika ini, dua anak perempuannya bersama Haszman berada di PKTK bagi menunggu perkembangan terkini operasi SAR.
Mengulas keadaan bapanya, Ashikin berkata, pada awal kehilangan, Haszman lebih banyak mendiamkan diri kerana masih terkejut dan bimbang dengan keadaan Jaslinda.
**media[3534855]**
Bagaimanapun katanya, keadaan itu sedikit berubah selepas pihak berkuasa menemui beberapa petunjuk baharu di lokasi pencarian.
"Alhamdulillah sekarang keadaan ayah okey. Kami juga pastikan dia makan dan ambil ubat. Cuma dia memang tak mahu tinggalkan kawasan ini selagi ibu belum ditemui,” katanya.
Tambahnya, biarpun hampir seminggu tempoh kehilangan, keluarga tetap yakin Jaslinda mampu bertahan berdasarkan sifatnya yang lasak dan berani.
**media[3534852]**
ARTIKEL BERKAITAN: Pasukan SAR bermalam di puncak, operasi jejak Jaslinda dipergiat
Pasukan SAR jumpa botol air, bungkusan milik Jaslinda
Ops Gunung Batu Putih: Jaslinda mungkin tersasar, pencarian diteruskan
Ops Gunung Batu Putih: Operasi ditangguhkan, pencarian esok fokus Gunung Rayu
"Bila dengar ada jejak ditemui, harapan itu makin kuat. Saya kenal ibu sebagai seorang yang kuat. Saya percaya dia boleh bertahan sehingga ditemui," katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam operasi SAR yang sedang giat dijalankan.
“Saya mewakili keluarga dan ayah ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pasukan penyelamat yang terlibat. Kami sangat menghargai usaha mereka,” katanya.
**media[3534856]**
Jaslinda dilaporkan menyertai pendakian Trans Spencer Chapman bersama 13 individu lain dan dua malim gunung bermula jam 2 pagi, 23 Mei lalu melalui laluan Pos Gedung-Gunung Bah Gading-Gunung Batu Putih-Kuala Woh.
Mangsa bersama seorang lagi pendaki, Mohd Hanafi Neikmad, 41, mengalami masalah kesihatan dan berhenti daripada kumpulan tersebut.
Bagaimanapun, Jaslinda dilaporkan meneruskan perjalanan seorang diri ke puncak gunung sebelum kali terakhir dilihat oleh malim gunung pada jam 7.30 pagi, Ahad lalu.






