Jatuh longkang: Dua lagi kanak-kanak maut dalam perjalanan ke hospital

15 Sep 2026 • 9:15 AM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Jatuh longkang: Dua lagi kanak-kanak maut dalam perjalanan ke hospital

KULIM, 15 SEPT: Dua lagi kanak-kanak yang dikejarkan ke Hospital Kulim selepas dipercayai terjatuh ke dalam kolam tadahan di Taman Desa Kayangan, Sungai Karangan di sini semalam, disahkan meninggal dunia, menjadikan keseluruhan empat mangsa terkorban dalam kejadian itu.

Dua lagi mangsa sebelum ini, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Kulim Supt Syamsul Sinring berkata mangsa ialah Muhammad Zafril Arsyad Muhamad Azrin, 12, Muhammad Iman Nuruddin Khairol Anuar, 10, serta dua adik-beradik tiri Muhamad Aeril Aziz Muhamad Zafis, 12, dan Muhammad Arif Naufan Abdullah, 8.

“Polis menerima panggilan daripada orang awam berkenaan kejadian itu pada 7.45 malam semalam yang memaklumkan terdapat empat mangsa lemas di dalam kolam tadahan di Taman Desa Kayangan.

“Pihak ambulans mengesahkan dua mangsa telah meninggal dunia di tempat kejadian dan dua mangsa meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke Hospital Kulim,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kesemua mangsa tinggal berdekatan Taman Desa Kayangan, Sungai Karangan di sini.

Syamsul berkata hasil temu bual dengan ibu mangsa mendapati kesemua kanak-kanak itu keluar dari rumah untuk bermain bola sebelum bola dipercayai terjatuh ke dalam longkang di lokasi kejadian.

“Kesemua mangsa dipercayai cuba mengambil bola berkenaan sebelum terjatuh ke dalam longkang,” katanya.

Beliau berkata tiada saksi yang melihat kejadian berkenaan, manakala longkang terbabit dianggarkan mempunyai kedalaman kira-kira 10 kaki dan lebar enam kaki.

Katanya, kesemua mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar malam tadi untuk bedah siasat.

Dalam kejadian kira-kira 7.45 malam semalam, empat kanak-kanak lelaki dipercayai terjatuh ke dalam longkang di Taman Desa Kayangan, Sungai Karangan, dengan dua mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala dua lagi dibawa ke hospital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved