Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.

Hasrat seorang penuntut universiti untuk pulang ke kampus selepas menziarahi pusara ibunya berakhir dengan tragedi apabila dia terbabit dalam kemalangan maut pada Selasa.
Mangsa, Nurul Fatehah Alya Kamaruaf’fandi, 20, dipercayai terbabas ketika menunggang motosikal Honda Vario 160 secara bersendirian di Kilometer 211.4 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan, berhampiran Ayer Keroh, sekitar jam 5.30 petang.
Ketika kejadian, arwah dalam perjalanan pulang ke kampus Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) selepas menziarahi pusara ibunya di Kuala Selangor.
Menerusi kenyataan UTeM, Allahyarhamah merupakan penuntut Tahun Dua Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer (Keselamatan Komputer) dengan Kepujian di Fakulti Teknologi Maklumat dan Komunikasi (FTMK).
Artikel berkaitan: “Ini cara saya hilangkan sedih” – Pemuda Tular Baring Sebelah Pusara Akui Pemergian Ibu Beri Kesan Mendalam
Artikel berkaitan: “Memang perit dik” – Lelaki Terduduk Tengok Pusara Ibu & Kakak, Baru Dapat Tahu Lepas Dibebaskan 6 Bulan Penjara
Menurut Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ahmad Abu Bakar, motosikal ditunggang mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar penghadang jalan di sebelah kiri dan tercampak ke lorong kecemasan.
“Akibatnya, mangsa parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sementara itu, pihak Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) UTeM turut membantu menguruskan jenazah arwah sehingga ke kampung halamannya di Bagan Datuk, Perak, untuk dikebumikan.
Sebagai tanda keprihatinan, pihak universiti turut menyalurkan sumbangan khairat kematian sebanyak RM2,000 kepada keluarga Allahyarham, selain akan membantu dalam proses tuntutan Insurans Kelompok Pelajar berjumlah RM21,500 serta tuntutan khairat kematian Yayasan Perkasa Siswa (KPT) berjumlah RM2,000.
Dalam perkembangan lain, polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kemalangan untuk menghubungi pegawai penyiasat bagi membantu siasatan.
Sumber: Berita Harian
Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.




