
Seorang penuntut Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) maut dalam kemalangan jalan raya ketika dalam perjalanan pulang ke kampus selepas menziarah pusara ibunya di Kuala Selangor, Selangor pada Selasa.
Mangsa, Nurul Fatehah Alya Kamaruaf’fandi, 20, dipercayai terbabas ketika menunggang motosikal Honda Vario 160 di Kilometer 211.4, Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS), arah selatan, kira-kira jam 5.30 petang.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ahmad Abu Bakar berkata, motosikal mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar penghadang jalan di sebelah kiri lalu menyebabkan mangsa tercampak ke lorong kecemasan.
Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan.
Sementara itu, UTeM menerusi satu kenyataan menzahirkan rasa dukacita atas pemergian Allahyarhamah yang merupakan penuntut tahun dua universiti berkenaan.
Pihak universiti turut mendoakan agar roh Allahyarhamah dicucuri rahmat, selain keluarganya diberikan kekuatan dan ketabahan menghadapi kehilangan tersebut.
Dalam pada itu, Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) UTeM membantu urusan pengurusan jenazah sebelum dibawa pulang ke kampung halaman di Bagan Datuk, Perak, untuk dikebumikan.
UTeM turut menyalurkan sumbangan khairat kematian RM2,000 serta membantu urusan tuntutan Insurans Kelompok Pelajar berjumlah RM21,500 dan khairat kematian Yayasan Perkasa Siswa sebanyak RM2,000.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, manakala orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan.
Sumber: Berita Harian, UTeM
The post Pulang selepas ziarah pusara ibu, penuntut UTeM maut kemalangan appeared first on The Reporter.





