'Letak jawatan Pengerusi Mara, hanya Menteri KKDW layak tentukan bukan AMK' - Asyraf Wajdi

LocalPolitics
3 Sep 2026 • 1:57 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: 'Letak jawatan Pengerusi Mara, hanya Menteri KKDW layak tentukan bukan AMK' - Asyraf Wajdi
Asyraf Wajdi

KUALA LUMPUR - Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menolak desakan pihak tertentu yang mahukan dirinya berundur sebagai Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara) kerana kononnya dikaitkan dengan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Lembaga Tabung Haji (TH).

Asyraf Wajdi menegaskan, individu yang melantiknya iaitu Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) sahaja boleh menentukan sama ada dirinya perlu berundur daripada jawatan berkenaan atau tidak.

"Saya dilantik oleh Menteri KKDW dan saya menurut sahaja. Kalau misalnya beliau minta saya berhenti, saya berhenti.

"Tetapi bukan atas desakan Angkatan Muda Keadilan (AMK) atau Parti Keadilan Rakyat (PKR). Saya menjaga amanah parti iaitu Mara yang lahir daripada 'rahim' UMNO itu sendiri.

"Sepanjang tiga tahun (menerajui Mara), saya meletakkan asas penting untuk memastikan agenda pendidikan dan keusahawan orang Melayu dipelihara serta diperkasakan supaya tiada usaha-usaha untuk merobek reputasi institusi ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 bertempat di Auditorium UMNO Aras 4 Menara Dato' Onn Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini pada Khamis.

PAU 2026 yang turut bersiaran secara langsung di platform digital UMNO Online dari 9 hingga 12 September ini dijangka menerima kehadiran lebih 50,000 pengunjung disebabkan peningkatan permohonan penyertaan sejak akhir-akhir ini.

Asyraf Wajdi menambah, isu RCI Tabung Haji tiada kena-mengena dengan dirinya kerana namanya langsung tidak disebut dalam laporan akhir setebal 211 muka surat yang ditayangkan kepada umum pada 29 Julai lalu.

"Begitu juga isu RCI Tabung Haji, ia tidak relevan kerana tidak ada disebut nama saya di dalamnya. Saya pun tidak pernah dikaitkan dengan isu TH dan sebagainya.

"Ia hanya permainan persepsi puak-puak tertentu yang mahu merobek reputasi dan institusi ini," ujarnya.

Beliau berpendapat, kedudukan Mara sebagai institusi yang memperjuangkan kepentingan orang Melayu dan bumiputera juga mesti dipertahankan.

"Ini bukan soal Dr Asyraf Wajdi, ini soal institusi Mara selaku institusi amanah orang Melayu, dipertanggungjawabkan oleh kepimpinan UMNO yang melahirkan Mara pada 1966 di PAU.

"Kalau ada agenda-agenda yang sekadar mahu menjatuhkan institusi ini, saya kira saya mewakili UMNO akan terus mempertahankannya," tegas beliau lagi.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved