‘Saya Akan Letak Jawatan Jika Diminta TPM, Bukan Orang Lain’ - Asyraf Wajdi

LocalPolitics
3 Sep 2026 • 2:53 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

‘Saya Akan Letak Jawatan Jika Diminta TPM, Bukan Orang Lain’ - Asyraf Wajdi

KUALA LUMPUR - Peletakan jawatan sebagai Pengerusi MARA hanya akan dibuat sekiranya diarahkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Menegaskan perkara itu, Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Asyraf Wajdi Dusuki menegaskan, beliau tidak akan tunduk kepada desakan sayap Pemuda PKR (AMK) yang mahu dirinya melepaskan jawatan berkenaan, susulan isu  dibangkitkan dalam laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Lembaga Tabung Haji (TH).

Setiausaha Agung UMNO itu berkata, kedudukannya sebagai Pengerusi MARA adalah berdasarkan pelantikan serta mandat Zahid selaku Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).

Justeru, menurutnya, sebarang keputusan berkaitan kedudukannya dalam MARA tertakluk kepada arahan kepimpinan kementerian berkenaan dan bukannya tekanan daripada mana-mana pihak luar.

“Saya dilantik oleh Timbalan Perdana Menteri. Kalau beliau minta saya letak jawatan, saya akan berbuat demikian.

“Tetapi bukan kerana desakan mana-mana pihak lain,” katanya pada sidang media khas menjelang Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di Menara Dato’ Onn, hari ini.

Sebelum ini, kepimpinan AMK menggesa Asyraf Wajdi berundur daripada jawatan Pengerusi MARA susulan dakwaan penglibatannya dalam isu Tabung Haji, ketika beliau menyandang portfolio Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

Mengulas tempoh tiga tahun menerajui MARA, Asyraf Wajdi berkata, tumpuan utamanya adalah memperkukuh serta memperkemas tadbir urus institusi itu agar terus kukuh dan tidak terjejas akibat persepsi negatif.

Beliau berkata antara keutamaan sepanjang tempoh tersebut termasuk memperkasa tadbir urus MARA, sektor pendidikan serta agenda keusahawanan Bumiputera.

“Ini bukan mengenai Asyraf Wajdi. Ini mengenai MARA sebagai sebuah institusi yang dipertanggungjawabkan untuk menjaga kepentingan masyarakat Melayu,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Asyraf Wajdi menegaskan cadangan penubuhan Hospital MARA bukan sebuah projek yang dikhususkan untuk Bumiputera, sebaliknya akan dibuka kepada pesakit daripada semua kaum.

Beliau berkata isu kaum tidak seharusnya dikaitkan dengan cadangan penubuhan hospital berkenaan.

Katanya, dari sudut profesionalisme perubatan, doktor tidak boleh memilih pesakit berdasarkan kaum dan perkara itu bukan matlamat penubuhan Hospital MARA.

“Ini tiada kaitan dengan soal kaum. Hospital ini untuk semua dan kita tidak akan memilih pesakit.

“Dari sudut profesionalisme, doktor tidak boleh memilih sama ada mahu merawat Bumiputera atau bukan Bumiputera. Itu bukan tujuan kita,” katanya. - Getaran, 3 September 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved