Jawatankuasa khas perlu ditubuh elak krisis tenaga kerja sektor perladangan

LocalPolitics
1 Apr 2026 • 10:39 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Kerajaan disaran menubuhkan jawatankuasa khas untuk menyelaras latihan kemahiran dalam sektor keterjaminan makanan dan perladangan. - Gambar kecil (Nordin)

IPOH – Kerajaan disaran menubuhkan jawatankuasa khas bagi menyelaras latihan kemahiran dalam sektor keterjaminan makanan dan perladangan sebagai langkah segera untuk mengatasi krisis tenaga kerja tempatan yang semakin meruncing.

Pengerusi Eksekutif Institut Agro dan Keusahawanan (IGROW), Nordin Abdul Malek berkata, penubuhan Jawatankuasa Kerja Strategik Kluster Latihan Kemahiran Pertanian, Sekuriti Makanan dan Perladangan itu perlu diterajui oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) di bawah Kementerian Sumber Manusia.

Menurutnya, jawatankuasa berkenaan perlu menghimpunkan pelbagai agensi termasuk Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Kementerian Perladangan dan Komoditi, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) serta Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRD Corp) bagi memastikan penyelarasan yang lebih berkesan.

"Ketika ini, negara berdepan krisis tenaga kerja dalam sektor sekuriti makanan dan perladangan apabila majoriti pekerja berusia 65 tahun ke atas, manakala penglibatan tenaga muda di bawah 35 tahun tidak sampai 10 peratus.

"Keadaan ini berpunca daripada kegagalan penyelarasan latihan TVET serta kurangnya usaha menarik minat golongan muda, termasuk tidak melibatkan pusat latihan swasta secara menyeluruh sebagai rakan strategik kerajaan," katanya kepada Sinar Harian.

Nordin berkata, kelemahan tersebut telah berlarutan lebih sedekad sehingga memberi kesan kepada tahap sara diri negara dalam pengeluaran makanan, dengan sebahagiannya dilaporkan di bawah 40 peratus.

Katanya, situasi itu menyebabkan negara semakin bergantung kepada import sekali gus mendedahkan risiko kenaikan harga dan gangguan bekalan global.

“Lebih membimbangkan, terdapat penguasaan oleh kartel warga asing dalam sektor ini akibat kekurangan tenaga kerja tempatan yang mahir,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan penglibatan institusi latihan swasta perlu diperkasakan melalui agihan kuota dan dana yang seimbang bersama institusi awam.

"Kerajaan perlu kembali kepada pendekatan 50:50 antara institusi awam dan swasta seperti yang pernah dilaksanakan sebelum ini kerana ia terbukti berkesan.

"Pusat latihan swasta mempunyai kelebihan dari segi kecekapan, kos dan keupayaan melaksanakan latihan secara lebih fleksibel serta memenuhi keperluan industri semasa," katanya.

Menurutnya, kegagalan menyelaras dana daripada pelbagai agensi termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC) menyebabkan sumber kewangan tidak diagihkan secara optimum kepada sektor kritikal seperti keterjaminan makanan.

Dalam perkembangan sama, Nordin berkata, sektor perladangan khususnya kelapa sawit memerlukan kira-kira 30,000 tenaga kerja mahir, namun kapasiti latihan sedia ada jauh daripada mencukupi.

Beliau mencadangkan sasaran melahirkan sekurang-kurangnya 3,000 tenaga kerja tempatan setiap tahun bagi tempoh 10 tahun untuk mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing.

"Latihan perlu dilaksanakan secara menyeluruh merangkumi pensijilan, bimbingan serta pemantauan termasuk penyediaan laluan kerjaya yang jelas, insentif dan jaminan pendapatan.

"Kita juga perlu menggabungkan tenaga muda dan warga emas melalui pendekatan pertanian moden serta program berasaskan komuniti bagi meningkatkan pengeluaran makanan negara," katanya.

Beliau berkata, kerajaan perlu segera memperuntukkan dana khas serta menubuhkan jawatankuasa berkenaan selewat-lewatnya Jun ini bagi memastikan isu tersebut dapat ditangani secara menyeluruh.

Nordin menambah, cadangan tersebut juga telah dibawa ke Majlis TVET Negara yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.