
ISKANDAR PUTERI: Penyandang juara, Johor Darul Ta’zim (JDT) berpesta gol 9-0 membenam Kelantan Red Warrior (KRW) FC pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, malam tadi.
Beraksi di laman sendiri, pasukan kendalian Xisco Munoz hanya memerlukan kira-kira 80 saat bagi merobek gawang lawan menerusi jaringan pembukaan oleh Shahab Zahedi.
Jaringan tersebut membakar semangat skuad Harimau Selatan untuk melancarkan serangan bertali arus menghukum pasukan bimbingan Irfan Bakti Abu Salim.
Bagaimanapun, Zahedi dan Jairo Da Silva masing-masing mensia-siakan beberapa peluang kecemasan untuk melebarkan kedudukan namun gagal meletakkan bola ke gawang lawan.
Pada minit ke-27, Eddy Israfiloz menjaringkan gol buat JDT namun jaringan tersebut dibatalkan oleh pengadil perlawanan Firdaus Dahlan setelah semakan video bantuan pengadil (VAR) mendapati berlaku kekasaran dalam kotak penalti.
Pada minit ke-36, Zahedi menambah jaringan peribadinya pada perlawanan itu setelah menyudahkan hantaran lambung kapten Arif Aiman Hanafi dengan melakukan tandukan menewaskan Amin Faisal Mohd. Saidi.
KRW cuba bangkit pada perlawanan itu menerusi percubaan Muhammad Mohd. Fauzi dan Emmanuel Junior Nkene namun gagal rembatan yang dilakukan sedikit tersasar dari pintu gol JDT.
Sebelum tamat babak pertama, gawang pasukan pelawat dibolosi sekali lagi, kali ini merupakan gol sendiri setelah Muhammad tertampan hantaran lintang Jonathan Silva ke gawang pihaknya.
Situasi Kelantan semakin parah ketika perlawanan bersambung babak kedua setelah gawang mereka dibolosi pada minit ke-49 setelah Jairo menyudahkan sepakan sudut yang diambil Manuel Hidalgo dengan menanduk bola menerjah gol KRW.
Seminit kemudian, Zahedi menambah derita pasukan lawan apabila melengkapkan jaringan hatriknya apabila memanfaatkan hantaran lintang Hidalgo sebelum melepaskan rembatan rendah menewaskan Amin Faisal buat kali kelima dalam perlawanan itu.
Zahedi menjaringkan gol keempat peribadinya menerusi gerakan yang dimulakan Molina Martinez apabila membuat hantaran kepada Afiq Fazail sebelum melorongkan bola kepada penyerang kelahiran Iran itu mencipta jaringan pada minit ke-61.
JDT yang tidak memperlahankan serangan terus berpesta gol apabila giliran Matias Nahuel yang dibawa masuk menggantikan Milano menjaringkan gol ketujuh perlawanan setelah menyudahkan umpanan Arif Aiman dari jarak dekat pada minit ke-77.
Pada minit ke-80, Israfiloz mengubati kekecewaan setelah gol pertamanya dibatalkan oleh VAR dengan meledak gol kelapan JDT setelah menanduk bola menggegarkan jaring gol lawan bagi menambah derita pasukan lawan.
Arif Aiman yang sudah membuat tiga bantuan gol pada perlawanan itu berjaya memahatkan nama dalam senarai penjaring pada minit ke-89 apabila melakukan rembatan rendah menewaskan Amin Faisal bagi melengkapkan malam gemilang buat JDT.-UTUSAN
The post JDT berpesta gol, tewaskan KRW 9-0 appeared first on Utusan Malaysia.





