JDT tidak berdepan kesukaran benam UM-Damansara United 4-1

LocalFootball
1 Sep 2026 • 7:59 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: JDT tidak berdepan kesukaran benam UM-Damansara United 4-1

ISKANDAR PUTERI: Juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) tidak berdepan tugas sukar menjinakkan UM-Damansara United 4-1 pada aksi pertama pusingan 16 Piala FA di Stadium Sultan Ibrahim, petang tadi.

Biarpun menurunkan pasukan kedua pada perlawanan itu, skuad kendalian Xisco Munoz berupaya menjalankan tugas dengan baik menewaskan pasukan tuan rumah itu.

JDT dihadiahkan sepakan penalti oleh pengadil perlawanan Faizal Abu Othman selepas mendapati Jonathan Silva dikasari Ghaffar Abdul Rahman ketika permainan berlangsung 52 saat.

Jairo Da Silva tidak berdepan tugas sukar untuk menyempurnakan sepakan penalti itu bagi meletakkan skuad Harimau Selatan di hadapan pada minit ketiga.

Pada minit ke-10, pasukan pelawat itu hampir menambah jaringan menerusi percubaan Shio Hong Wan namun penjaga gol, Azfar Arif Mohd. Sukri cemerlang menafikan rembatan deras tersebut.

Pemain pertahanan baharu JDT, Daniel Castro hampir mencipta jaringan pada penampilan pertamanya namun dua rembatan yang dilakukan sedikit tersasar dari pintu gol lawan.

Manakala skuad bimbingan Asri Ninggal hampir mencipta kejutan pada perlawanan itu namun hantaran silang dilakukan Saiful Iskandar Adha Saiful Azlan gagal disudahkan Hazim Abu Zaid yang tampak gopoh di hadapan pintu gol JDT pada minit ke-24.

Lima minit berselang, Castro akhirnya berjaya memahatkan namanya senarai penjaring setelah memanfaatkan gerakan satu dan dua bersama Manuel Hidalgo sebelum melorongkan bola ke penjuru kiri gol menewaskan Azfar Arif pada minit ke-30.

Kelab Liga A1 Semi Pro itu terus berdepan malang apabila JDT meledak gol ketiga perlawanan berpunca daripada kesilapan pemain pertahanan dan Hidalgo bertindak tangkas merampas bola dan melepasi kawalan pihak lawan sebelum meletakkan bola ke dalam gawang lawan pada minit ke-42.

Bersambung babak kedua, JDT tidak mengendurkan tempo permainan dengan kerap kali melancarkan serangan balas namun serangan yang dihasilkan gagal disudahkan dengan baik.

Jairo yang menjaringkan gol penalti pada awal babak pertama tampak bergelut untuk menemui sentuhan penyudah setelah percubaan demi percubaan yang dilakukan gagal disempurnakan dengan baik.

Munoz membawa masuk Molina Martinez dan Yago Cesar bagi menambah tonik serangan Harimau Selatan namun gagal menambah jaringan buat pasukan lawan.

Serangan demi serangan yang dilakukan, JDT akhirnya menambah jaringan menerusi Hidalgo yang melakukan sepakan deras ke penjuru sebelah kiri yang hanya mampu diperhatikan penjaga gol pada minit ke-53.

Ketika permainan hampir memasuki masa kecederaan, UM-Damansara United mencipta kejutan apabila gandingan pemain gantian, Shafizi Iqmal Khirudin melakukan umpanan kepada Amirul Akmal Safarinizam yang melepaskan rembatan kencang bagi menjaringkan gol saguhati permainan pada minit ke-90.

Kedua-dua pasukan akan bertemu pada aksi timbal balik pusingan 16 Piala FA pada 8 September ini.-UTUSAN

The post JDT tidak berdepan kesukaran benam UM-Damansara United 4-1 appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved