
PENGENDALI interim Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe mengakui pasukan semakin ‘tersepit’ selepas hanya 20 pemain yang mungkin cergas untuk beraksi menentang Vietnam pada saingan Piala ASEAN 2026 di Stadium Kuala Lumpur, Cheras malam ini.
Menurut Cheng Hoe, barisan kejurulatihan berdepan tugas berat untuk merangka kesebelasan terbaik dalam usaha meraih keputusan positif untuk dibawa bekal sebelum aksi separuh akhir kedua di Hanoi, Rabu depan.
Kekangan itu memaksa bekas pengendali Selangor FC memerah kreativiti untuk mencari formula terbaik, termasuk membuka ruang kepada pemain muda yang masih mentah di pentas antarabangsa.
“Barisan pemain yang ada agak membimbangkan saya, tetapi sebagai jurulatih, saya kekal positif dengan keadaan kecederaan pemain.
“Mengenai Sumareh, dia sudah menjalani latihan bersama pasukan dan kelihatan sedia untuk perlawanan esok. Pada masa yang sama, beberapa pemain lain masih belum bersedia.
“Kita juga kehilangan Wan Kuzain yang mempunyai komitmen bersama kelab. Sebagai jurulatih, saya perlu mencari pilihan dan jalan penyelesaian terbaik untuk kesebelasan utama esok,” katanya.
Skuad negara yang hanya menyenaraikan 25 pemain kehilangan empat tonggak utama ekoran kecederaan seperti Endrick Dos Santos, Jimmy Raymond, Engku Nur Shakir Engku Yacob dan Aliff Haiqal Lau selain Wan Kuzain Wan Kamal yang kembali ke Amerika Syarikat.
Namun, Cheng Hoe tidak mahu krisis berkenaan dijadikan alasan sebaliknya melihat situasi itu sebagai peluang buat muka baharu membuktikan mereka layak diberi kepercayaan.
“Ini adalah peluang terbaik buat pemain muda belum pernah beraksi untuk pasukan kebangsaan untuk mempamerkan kebolehan masing-masing. Kebanyakan mereka mampu mengisi kekosongan itu,” katanya.
Mengulas mengenai rekod hambar ketika berdepan Vietnam, Cheng Hoe enggan barisan pemain negara terlalu terikat dengan sejarah.
“Ya, sebelum ini saya memang tidak mempunyai rekod yang baik menentang Vietnam tetapi kali ini adalah perlawanan yang berbeza. Tiada apa yang mustahil,” katanya.
The post Piala ASEAN: Harimau Malaya hadapi getir aksi separuh akhir appeared first on Kosmo Digital.






