
TAWAU: Timbalan Presiden Parti Warisan, Datuk Ignatius Darell Leiking menyifatkan tindakan Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (Star), Datuk Dr Jeffrey G Kitingan meninggalkan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tanpa melepaskan jawatan dalam kerajaan negeri sebagai sesuatu yang pelik.
Beliau berkata, jika Jeffrey benar-benar berpegang kepada pendiriannya menolak kerjasama dengan GRS, maka wajar beliau melepaskan jawatan sebagai Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Pertanian dan Perikanan Sabah serta-merta.
“Beliau berhak membuat keputusan kerana itu partinya, tetapi bukankah lebih baik, kalau tidak bersetuju dengan keputusan Presiden GRS, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor untuk bekerjasama dengan Pakatan Harapan, tunjukkan langkah yang lebih serius?“Misalnya dengan meletakkan jawatan dalam kabinet, bukan separuh jalan sahaja,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, Sabtu. Leiking turut mempersoalkan alasan Jeffrey keluar GRS kerana menolak kerjasama dengan parti luar Sabah, mendakwa dalam komunikasi dalaman seperti kumpulan WhatsApp, masih terdapat individu dari luar yang bersama mereka.
Katanya, persoalan turut timbul dalam kalangan jemaah menteri memandangkan masih terdapat ahli kabinet daripada parti Semenanjung seperti Umno, meskipun parti itu tidak menjalinkan kerjasama rasmi dengan kerajaan negeri.
Mengulas mengenai sokongan masyarakat Kadazan Dusun Murut Rungus (KDMR) dan komuniti Pantai Barat, Leiking menegaskan Warisan tidak mahu dilabel sebagai parti yang hanya mewakili kelompok atau kawasan tertentu.
“Warisan lahir daripada sokongan semua lapisan masyarakat termasuk KDMR, dan saya percaya suara anak Sabah berbilang kaum itu harus lebih diutamakan,” katanya. Mengenai trend sokongan terkini dari Pantai Barat, beliau menegaskan Warisan mengambil kira semua kawasan kerana perjuangan parti meliputi setiap bahagian negeri tanpa pengecualian sama ada Pantai Barat, Pantai Utara, Pantai Timur atau Pedalaman.
Beliau berharap rakyat Sabah tidak terikut-ikut dengan politik perpecahan berasaskan kaum, sebaliknya mempertahankan keharmonian dan perpaduan.
“Kita sudah lama dibentuk untuk berfikir berasaskan kaum. Jadi marilah kita membina sokongan bersama tanpa mengira kaum, dengan menekankan kesatuan sebagai kunci mencapai matlamat bersama,” katanya.
