Monsun Timur Laut bermula 27 Oktober, lima episod hujan lebat diramal berlaku

LocalEnvironment
23 Oct 2026 • 5:32 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Monsun Timur Laut bermula 27 Oktober, lima episod hujan lebat diramal berlaku

SHAH ALAM, 23 OKT: Monsun Timur Laut (MTL) 2026/2027 dijangka bermula pada 27 Oktober ini hingga Mac tahun depan, dengan tiga hingga lima episod hujan lebat berterusan diramal berlaku pada fasa awal monsun.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Dr Mohd Hisham Mohd Anip berkata keadaan itu berpotensi menyebabkan banjir terutama di kawasan berhampiran sungai dan kawasan rendah.

Menurutnya, sepanjang tempoh MTL, angin lazimnya bertiup secara konsisten dari arah timur laut sekali gus mempengaruhi keadaan cuaca dan laut.

“Tiupan angin timur laut yang berterusan dan kencang juga boleh menyebabkan laut bergelora serta meningkatkan risiko kenaikan paras laut di perairan Laut China Selatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menjelaskan fasa awal MTL dari November 2026 hingga Januari 2027 memerlukan orang ramai bersedia menghadapi kemungkinan hujan lebat berterusan dan risiko banjir.

Image from: Monsun Timur Laut bermula 27 Oktober, lima episod hujan lebat diramal berlaku
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Dr Mohd Hisham Mohd Anip ketika rakaman program Bicara Semasa pada 3 April 2026. Foto IJLAH MUNIRAH HASBUNALLAH/MEDIA SELANGOR.

Sementara itu, taburan hujan dijangka berkurangan menjelang fasa akhir monsun dari Januari hingga Mac 2027, terutama di negeri utara Semenanjung Malaysia dan Sabah.

Keadaan berkenaan berpotensi menyebabkan cuaca panas dan kering, selain meningkatkan risiko gelombang haba lebih ekstrem.

Menurut MetMalaysia, fenomena El Nino sangat kuat atau Super El Nino yang sedang berlaku turut berpotensi mempengaruhi keadaan cuaca panas dan kering berkenaan.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan sentiasa berwaspada serta mengikuti perkembangan cuaca termasuk ramalan dan amaran terkini yang dikeluarkan MetMalaysia.

Maklumat lanjut boleh diperoleh melalui laman web www.met.gov.my, aplikasi myCuaca, media sosial rasmi MetMalaysia atau talian hotline 1-300-22-1638.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved