
PETALING JAYA – Monsun Timur Laut (MTL) 2026/2027 dijangka bermula pada 27 Oktober ini dan berterusan sehingga Mac tahun depan, dengan tiga hingga lima episod hujan lebat berterusan diramal berlaku pada fasa awal monsun berkenaan.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Dr. Mohd Hisham Mohd Anip berkata, episod hujan lebat itu berpotensi menyebabkan banjir, khususnya di kawasan berhampiran sungai dan kawasan rendah.
Menurut beliau, sepanjang MTL, angin lazimnya bertiup secara konsisten dari arah timur laut.
“Tiupan angin timur laut yang berterusan dan kencang juga boleh menyebabkan laut bergelora serta meningkatkan risiko kenaikan paras laut di perairan Laut China Selatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, bagi fasa awal MTL dari November 2026 hingga Januari 2027, orang ramai perlu bersedia menghadapi kemungkinan hujan lebat berterusan dan risiko banjir.
Sementara itu, menjelang fasa akhir monsun dari Januari hingga Mac 2027, taburan hujan dijangka berkurangan, terutama di negeri-negeri utara Semenanjung Malaysia dan Sabah.
Keadaan itu boleh menyebabkan cuaca panas dan kering, selain berpotensi mencetuskan gelombang haba lebih ekstrem berikutan pengaruh fenomena El Nino sangat kuat atau Super El Nino yang sedang berlaku.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dan mengikuti perkembangan cuaca, termasuk ramalan serta amaran yang dikeluarkan MetMalaysia.
Maklumat lanjut boleh diperoleh menerusi laman web www.met.gov.my, aplikasi myCuaca, media sosial rasmi MetMalaysia atau talian hotline 1-300-22-1638.- KOSMO! ONLINE
The post Musim banjir bermula Selasa, lima episod hujan lebat appeared first on Kosmo Online.






