Jelajah Iftar Sinar Mydin dinanti-nantikan warga Jengka

12 Mar 2026 • 11:26 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Suasana sekitar Dataran Mydin Jengka menjadi tumpuan orang ramai ul yang datang untuk bersama memeriahkan Program Jelajah Iftar Sinar Mydin 2026 pada Rabu.
image is not available
Fuziah bersama orang ramai menunggu waktu berbuka puasa sempena Program Jelajah Iftar Sinar Mydin di Dataran Mydin Jengka pada Rabu.
image is not available
Dari kiri: Poh Kok Wah,Ustaz Tirmizi Ali,Faidzarizal Idris,Rosnitawarni Abdullah, Nurhamizah Talib
image is not available
Fuziah menyampaikan sumbangan kepada wakil Madrasah Darul Uloom Jengka 11 sempena Program Jelajah Iftar Sinar Mydin 2026 di Mydin Jengka pada Rabu.
image is not available
Fuziah menyampaikan sumbangan baju raya kepada pelajar Madrasah Darul Uloom Jengka 11 dari pihak penaja sempena Program Jelajah Iftar Sinar Mydin 2026 di Dataran Mydin Jengka pada Rabu.

MARAN - Dataran Mydin Jengka di Bandar Tun Razak di sini sekali lagi menjadi tumpuan apabila diserbu hampir 1,000 pengunjung terdiri penduduk sekitar dan dari daerah berdekatan yang datang untuk merasai sendiri kemeriahan Program Jelajah Iftar Sinar Mydin 2026 pada Rabu.

Kehadiran orang ramai seawal jam 5 petang jelas menggambarkan keterujaan mereka untuk menyertai program berbuka puasa anjuran Mydin Mohamed Holdings Berhad (Mydin) dengan kerjasama Sinar Harian dan Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM) itu apatah lagi selepas menyaksikan kemeriahan pada penganjurannya di lokasi sama tahun lalu.

**media[3460882]**

Suasana yang meriah di Dataran Mydin Jengka sekali gus menjadikan jelajah iftar itu antara program komuniti yang mendapat sambutan dan dinanti-nantikan penduduk sekitar.

Salah seorang pengunjung, Nurhamizah Talib, 34, dari Bandar Pusat Jengka yang terlepas peluang tahun lalu merebut kesempatan untuk bersama memeriahkan program itu yang kembali lagi ke Mydin Jengka kali ini.

Suri rumah itu berkata, dia mendapat tahu 'berita baik' tersebut melalui Facebook dan segera mendaftar supaya tidak terlepas peluang lagi.

"Selain kepada keluarga, saya juga membantu menguar-uarkan dan mengajak rakan serta jiran-jiran untuk bersama-sama datang memeriahkannya.

"Allhamdulillah petang ini (Rabu), rombongan kami 15 orang termasuk ahli keluarga, kawan dan jiran dapat bersama-sama merasai kemeriahan program Jelajah Iftar Sinar Mydin ini," katanya dengan harapan program itu diteruskan lagi di situ pada Ramadan tahun-tahun akan datang.

Bagi juruteknik dari Jerantut, Muhamad Hazim Rayuan, 36, dia mendapat tahu mengenai program itu juga melalui hebahan di platform Facebook.

Menurutnya, memandangkan ada kelapangan pada tarikh berkenaan, dia mengambil peluang mendaftar untuk membawa keluarga merasai pengalaman berbuka di lokasi ke lapan siri jelajah iftar itu tahun ini.

"Sebagaimana yang saya baca tentang kemeriahan program ini di akhbar Sinar Harian di lokasi sebelumnya, ternyata sambutan di lokasi ini juga amat meriah.

"Selain peserta yang berdaftar awal, jam 6.30 petang masih ada peserta 'walk-in' yang datang mencuba nasib," katanya.

**media[3460915]**

Muhamad Hazim juga berpuas hati dengan program itu apabila semuanya berjalan lancar malah rata-rata pengunjung yang datang ada tempat untuk berbuka puasa bersama sambil mengikuti setiap aktiviti yang disediakan termasuk ceramah kenegaraan dari wakil AKM dan ceramah agama dari qari terkenal, Ustaz Tirmizi Ali.

Sementara itu, Faidzarizal Idris, 41 dari Kampung Sentosa di sini mengakui sememangnya menunggu program itu selepas mendapat tahu ia akan diadakan kembali di Mydin Jengka tahun ini.

Katanya, selepas melihat hebahannya di Facebook dia terus daftar termasuk untuk kedua ibubapanya sekali.

"Terkejut juga bila sampai nampak kawasan dataran ini sudah penuh dengan orang ramai selain kehadiran orang-orang kenamaan termasuk Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negari dan Kos Sara Hidup, Datuk Dr Fuziah Salleh.

"Untung mereka yang datang hari ini, selain juadah berbuka, mereka juga disediakan 'goodie' untuk dibawa pulang," katanya yang akan menyertainya lagi sekiranya program itu diadakan kembali pada tahun-tahun akan datang.

Keterujaan sama dilontarkan suri rumah, Rosnitawarni Abdullah, 40 dari Jengka 12 di sini.

Selain menjadi antara 500 peserta terawal mendaftar tahun ini, dia juga antara yang terlepas peluang untuk jelajah iftar di lokasi itu tahun lalu.

"Bila kawan beritahu program ini buat lagi di sini, saya terus daftar dan puas hatilah dapat juga merasai kemeriahannya tahun ini.

"Walaupun peserta dikatakan hampir 1,000 orang tapi program berjalan lancar. Kalau macam ini suasananya elok Mydin dan Sinar Harian buat program ini sebagai aktiviti tahunan, boleh kami semua merasai kemeriahannya lagi," ujarnya.

Sementara itu, Fuziah merakamkan penghargaan kepada pihak penganjur khususnya Mydin dan Sinar Harian atas inisiatif menganjurkan program yang amat bermakna itu.

**media[3460885]**

Menurutnya, program seperti itu bukan sekadar majlis berbuka puasa tetapi turut membawa mesej yang lebih besar iaitu memperkukuh semangat kenegaraan kebersamaan dan perpaduan dalam kalangan rakyat selain mampu menyokong usaha kerajaan dalam membantu meringankan kos sara hidup rakyat.

"Saya juga merakamkan penghargaan kepada pihak Mydin serta rakan penaja yang turut menyumbang kepada komuniti melalui program Mydin Prihatin, termasuk sumbangan baucar tunai dan pakaian raya kepada pelajar dari Madrasah Darul Uloom Jengka 11.

"Melalui penglibatan AKM yang diwujudkan bagi memperkasa pendidikan kenegaraan, program seperti ini turut membantu menyemai kefahaman terhadap asas negara seperti Perlembagaan Persekutuan Rukun Negara serta sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan, selari dengan aspirasi Malaysia Madani," ujarnya.

Pada masa yang sama, beliau berkata, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan terus komited memastikan kesejahteraan rakyat melalui pelbagai inisiatif di bawah Payung Rahmah Madani termasuk usaha memastikan harga barangan kekal stabil dan bekalan mencukupi sepanjang bulan Ramadan serta menjelang sambutan hari raya Aidilfitri.

Sementara itu, Pengarah Jualan Wilayah Subi, Poh Kok Wah berbesar hati dan berterima kasih kepada Mydin kerana memberi peluang kepada pihaknya bersama lagi pada Program Jelajah Iftar Sinar Mydin untuk tahun yang kedua.

Sebagai wakil penaja, program itu cukup bermakna kerana pihaknya dapat bersama menyumbang dan membantu masyarakat melalu tajaan makanan termasuk produk-produk Subi.

"Selain menyumbang makanan merangkumi nasi dan lauk di dua lokasi penganjuran iftar ini, kami juga menyediakan produk Subi seperti jejari ikan dan nuget berperisa tom yam di lokasi-lokasi lain termasuk di Mydin Jengka ini.

“Sebagai syarikat SME, kami bukan sahaja menawarkan produk berkualiti, tetapi juga menyumbang semula kepada rakyat termasuk pada program jelajah iftar ini bermula Selangor, Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Perak,Kelantan dan Pahang," katanya.

Bagi penceramah jemputan, Ustaz Tirmizi Ali, program jelajah iftar Sinar Mydin satu inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang cukup baik dalam menyantuni dan meraikan masyarakat setempat.

**media[3460881]**

Katanya, selain orang ramai dapat menikmati juadah berbuka yang disediakan, mereka juga dapat mengikuti pengisian program termasuk ceramah agama daripada penceramah jemputan.

"Apatah lagi turut diadakan penyampaian sumbangan termasuk kepada pelajar tahfiz dan sebagainya.

"Justeru saya meraskan program ini wajar diteruskan kerana ia memberi impak dalam meraikan dan mengeratkan hubungan bukan sahaja antara penganjur dan masyarakat malah antara sesama masyarakat itu sendiri," katanya.

Majlis yang bermula sekitar jam 6 petang itu turut dihadiri, Timbalan Ketua Pengarah (Profesional) AKM, Shahrir Zaman Abdul Wahab, Pengarah AKM Pahang,Mohd Kamal Mohd Affandi dan Pengurus Bahagian Tengah 2 Mydin, Raja Azlan Raja Ismail.