MAKKAH – Dalam era dunia digital ketika teknologi kecerdasan buatan (AI) semakin digunakan masyarakat untuk mendapatkan maklumat pantas dan tepat, Lembaga Tabung Haji (TH) tidak ketinggalan bergerak seiring perkembangan semasa apabila memperkenalkan sistem bimbingan berasaskan AI bagi membantu jemaah haji Malaysia di Tanah Suci.
Buat julung kali, teknologi tersebut diperkenalkan menerusi platform e-TAIB Live Chat bagi memudahkan jemaah mendapatkan penjelasan segera berkaitan ibadah haji dan umrah.
Pengarah Operasi Bimbingan Haji TH, Shahrin Awaluddin berkata, jemaah yang mempunyai sebarang kemusykilan boleh melayari platform e-TAIB Live Chat melalui aplikasi WhatsApp pada bila-bila masa.
Menurut beliau, penggunaan AI dalam sistem berkenaan bertujuan membimbing jemaah melaksanakan ibadah dan program ziarah dengan sempurna berasaskan keputusan serta panduan Muzakarah Haji TH.
“Menerusi sistem e-TAIB, AI akan menjawab pertanyaan jemaah terlebih dahulu berdasarkan bahan rujukan rasmi TH yang telah disahkan oleh pakar rujuk haji.
“Jika sistem AI tidak dapat memberikan jawapan tepat atau memerlukan penjelasan lanjut, petugas Pembimbing Ibadat Haji Tanah Suci (PIHTAS) yang mengendalikan e-TAIB akan mengambil alih dan menjawab terus persoalan jemaah,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Beliau berkata, pada hari pertama pelaksanaannya, sistem tersebut menerima kira-kira 300 pertanyaan berkaitan hukum-hakam ibadah, sekali gus membuktikan sambutan baik dalam kalangan jemaah.
Katanya, talian ibadah berkenaan memberi fokus kepada isu berkaitan haji dan umrah serta turut dibuka kepada petugas bagi memudahkan rujukan segera.
“Antara persoalan yang sering ditanya jemaah ialah berkaitan dam, larangan ihram seperti rambut gugur, penggunaan wangian serta fiqh wanita.
“Kebanyakan jemaah sebenarnya sudah memahami hukum asas, namun mereka mahu mendapatkan pengesahan segera. Sistem ini memudahkan mereka bertanya secara langsung tanpa perlu menunggu lama,” katanya.
Tambah beliau, penggunaan e-TAIB amat digalakkan kerana ia percuma, pantas dan menggunakan sumber rujukan rasmi TH yang dipantau supaya bertepatan dengan keputusan Muzakarah Haji.
Menurutnya, penggunaan aplikasi luar yang mengambil pandangan daripada mazhab lain berpotensi menimbulkan kekeliruan kepada jemaah.
“Disebabkan itu, kita nasihatkan jemaah mengoptimumkan penggunaan e-TAIB kerana sistem ini dibangunkan khusus untuk keperluan jemaah Malaysia,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Shahrin berkata, kekuatan operasi bimbingan haji TH tahun ini melibatkan 56 petugas merangkumi PIHTAS serta pegawai kaunseling.
Beliau berkata, tahun ini TH turut memberi penekanan kepada maqasid haji, iaitu tujuan dan hikmah pensyariatan ibadah tersebut supaya jemaah bukan sahaja memahami rukun haji, malah menghayati falsafah serta hikmah di sebalik pelaksanaannya.
“Kita berharap segala usaha ini dapat membantu jemaah melaksanakan ibadah dengan lebih sempurna, seterusnya memperoleh haji mabrur,” katanya.



