
SHAH ALAM, 9 JUN: Adinda Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Tengku Puteri Arafiah Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, 72, selamat disemadikan di Makam Diraja Shah Alam, di sini, hari ini.
Persemadian Almarhumah disempurnakan mengikut istiadat diraja kira-kira jam 3.30 petang dengan berkenan dihadiri Sultan Sharafuddin Idris Shah, DYMM Tengku Permaisuri Selangor, Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor, serta kerabat diraja lain.
Istiadat pengebumian turut berkenan dihadiri Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, selain isteri Dato’ Menteri Besar, Datin Seri Masdiana Muhamad dan Mufti Selangor, Dato’ Dr Anhar Opir.
Jenazah Almarhumah dibawa ke Makam Diraja Shah Alam selepas disembahyangkan di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, yang diimamkan oleh Imam Besar Datuk Muhammad Farhan Wijaya selepas solat Jumaat.
Sultan Sharafuddin dan Tengku Permaisuri Hajah Norashikin turut berkenan menyiram air mawar selepas bacaan talkin yang dipimpin Timbalan Mufti Selangor Datuk Dr Miszairi Sitiris selesai.
Tengku Puteri Arafiah, anakanda kelima Almarhum Sultan Salahuddin, mangkat pada kira-kira jam 10.15 pagi tadi di kediamannya di Seksyen 12, di sini, kerana sakit tua.
Almarhumah yang mempunyai dua anak, meninggalkan suaminya, Datuk Seri Dr Abdul Munit Kasmin, 73, serta 10 orang cucu.
Ketika hayatnya, Almarhumah menubuhkan Rumah Puteri Arafiah iaitu sebuah pusat perlindungan, pemulihan dan bimbingan untuk remaja perempuan yang menghadapi masalah sosial, pengabaian atau penderaan.
Pusat itu dinaungi oleh Pertubuhan Kebajikan Dan Amal Wanita Selangor (PEKAWANIS) dan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).






