Jepun ialah negara yang tidak mempunyai ruang yang besar sehingga menyebabkan lebih 99% mayat dibakar selepas kematian kerana tidak cukup tanah perkuburan. Ini juga menyebabkan pembinaan pusat data juga sukar atas sebab batasan ruang. Mitsui Fudosan, pemaju hartanah Jepun, berfikir di luar kotak dengan rancangan membina pusat data di dalam terowong bawah tanah yang tidak lagi digunakan di bandar Kobe.

Projek ini bertujuan untuk menghidupkan semula infrastruktur terbiar sambil menangani isu membina pusat data baharu di atas tanah yang diperlukan bagi tujuan lain. Lokasi pusat data bawah tanah pertama Jepun ialah di Terowong Suma Belt Conveyor di Kobe.
Terowong sesuai digunakan sebagai pusat data kerana suhu semula jadi yang lebih sejuk serta ketahanan daripada pelbagai bencana alam yang melanda Jepun setiap tahun. Operasi pusat data yang kritikal tidak akan terjejas disebabkan oleh taufan atau gempa.
Langkah yang diambil Jepun berbeza dengan yang diambil China yang membina pusat data bawah permukaan laut di Shanghai dan Amerika pula sudah memulakan langkah membina pusat data angkasa lepas minggu lalu menerusi Project Suncatcher.
Sumber – Asia Nikkei




