
PETALING JAYA – Sebanyak 16 kawasan di seluruh negara mencatatkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat dengan Johan Setia, Selangor merekodkan bacaan tertinggi iaitu 160 setakat pukul 9.45 pagi ini.
Berdasarkan Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) Jabatan Alam Sekitar (JAS), Klang, Selangor mencatatkan bacaan IPU kedua tertinggi iaitu 159, diikuti Batu Muda, Kuala Lumpur dan Seremban, Negeri Sembilan masing-masing merekodkan bacaan 158.
Selain itu, Nilai, Negeri Sembilan mencatatkan bacaan IPU 157, manakala Petaling Jaya dan Shah Alam, Selangor masing-masing merekodkan bacaan 155.
Banting, Selangor pula mencatatkan bacaan IPU 153, diikuti Putrajaya, Batu Pahat, Johor dan Sri Aman, Sarawak yang masing-masing merekodkan bacaan 152.
Bukit Rambai, Melaka merekodkan bacaan IPU 151, manakala Tangkak, Johor mencatatkan 135.
Turut mencatatkan bacaan tidak sihat ialah Bandaraya Melaka (129), Cheras, Kuala Lumpur (120) dan Alor Gajah, Melaka (113).
Sementara itu, sebanyak 50 kawasan lagi berada pada tahap sederhana dan 2 kawasan pada tahap baik.
Mengikut skala IPU, bacaan antara sifar hingga 50 dikategorikan sebagai baik, 51 hingga 100 sederhana, manakala 101 hingga 200 adalah tidak sihat. – KOSMO! ONLINE
The post Jerebu: 16 kawasan tidak sihat, Johan Setia catat IPU tertinggi appeared first on Kosmo Online.






