
KUALA TERENGGANU – Jerebu yang melanda hampir keseluruhan Semenanjung Malaysia termasuk Pantai Timur berpotensi menghampiri paras bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) 200 dan dijangka berlarutan sehingga esok.
Pakar Kualiti Udara Universiti Sultan Zainal Abidin, Prof. Madya Dr. Azman Azid berkata, pola pergerakan udara (di Semenanjung Malaysia) ketika ini membawa masuk jerebu dari Sumatera, Indonesia hingga ke Pantai Timur.

“Keadaan jerebu dijangka berterusan sehingga Jumaat ini (esok) berikutan kehadiran jisim udara tercemar,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.
Menurut Azman, situasi jerebu terutama di Pantai Timur diburukkan lagi oleh pergerakan angin yang lemah di sekitar Laut China Selatan.
Tambahnya, setakat ini kawasan yang menunjukkan kepekatan pencemar sa-ngat tinggi dilihat semakin menghampiri Pantai Timur.
“Peningkatan bacaan IPU kebanyakan kawasan di Semenanjung Malaysia termasuk Terengganu ketika ini banyak disebabkan jerebu rentas sempadan.
“Bagaimanapun, faktor tempatan seperti aktiviti perindustrian turut berpotensi menyumbang kepada peningkatan kepekatan partikel halus PM2.5,” katanya.
Begitupun, Azman menegaskan tahap bacaan IPU sama ada meningkat atau menurun sepanjang tempoh tersebut masih bergantung kepada pergerakan angin dan keadaan cuaca semasa.
Beliau menjelaskan angin yang bergerak lebih laju serta hujan boleh membantu mengurangkan kepekatan pencemar di udara.
“Sebaliknya, sekiranya jisim udara tercemar terus bergerak ke arah kawasan ini dalam keadaan tiupan angin yang perlahan, bacaan IPU berpotensi terus meningkat dan kemungkinan akan menghampiri paras 200.
“Udara sentiasa bergerak dan tidak berada di satu kawasan sahaja. Setiap kali arah angin berubah, kawasan yang menerima kesan pencemar juga boleh beralih,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Azman menasihatkan orang ramai terutama golongan kanak-kanak, warga emas dan individu yang mempunyai masalah pernafasan dinasihatkan mengurangkan aktiviti luar pada masa ini.
Beliau menjelaskan, partikel PM2.5 yang sangat halus boleh memasuki sistem pernafasan dan meningkatkan risiko masalah kesihatan berkaitan respiratori sekiranya seseorang terdedah dalam tempoh tertentu jika berada di kawasan luar rumah.
The post Jerebu berlarutan hingga esok, ini sebabnya… appeared first on Kosmo Online.






