Jerebu Berlarutan: Sambutan Hari Kebangsaan Mungkin Dikecilkan Atau Dipindahkan 

LocalEnvironment
26 Aug 2026 • 8:02 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Jerebu Berlarutan: Sambutan Hari Kebangsaan Mungkin Dikecilkan Atau Dipindahkan 

KUALA LUMPUR - Kerajaan dijangka memutuskan sama ada sambutan Hari Kebangsaan tahun ini perlu dikecilkan atau dipindahkan ke lokasi lain susulan keadaan jerebu yang menjejaskan beberapa kawasan di negara ini, hari ini. 

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil, berkata perkara itu akan diputuskan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar selepas mengadakan perbincangan dengan kementerian dan agensi berkaitan.

Katanya, perbincangan itu membabitkan Kementerian Komunikasi, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Jabatan Meteorologi Malaysia, Kementerian Pendidikan serta Kementerian Kesihatan.

“Semakan itu akan melihat skala dan lokasi sambutan, selain langkah yang perlu diambil bagi memastikan kesihatan dan keselamatan orang ramai yang hadir serta terlibat dalam acara berkenaan.

“Pihak berkuasa juga akan mengambil kira ramalan cuaca bagi tempoh lima hingga enam hari akan datang, termasuk kemungkinan keadaan jerebu bertambah buruk,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Fahmi berkata Ketua Setiausaha Negara akan mengadakan perbincangan sebelum membuat keputusan berhubung skala sambutan, lokasi serta langkah yang perlu dilaksanakan pihak penganjur.

Semakan itu dibuat susulan keadaan kualiti udara yang bertambah buruk di beberapa kawasan pagi ini, dengan 19 kawasan merekodkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) tidak sihat setakat jam 8 pagi.

Berdasarkan Sistem Pengurusan Indeks Pencemar Udara Malaysia (APIMS), Serian, Sarawak merekodkan bacaan tertinggi iaitu 168, diikuti Samarahan (167) dan Kuching (108).

Di Negeri Sembilan, Nilai merekodkan bacaan 162 manakala Seremban 159.

Beberapa kawasan di Selangor turut merekodkan bacaan tidak sihat termasuk Johan Setia (160), Shah Alam (159), Klang (152), Banting (150) dan Petaling Jaya (122).

Putrajaya pula merekodkan bacaan IPU 160, manakala Batu Muda menjadi satu-satunya stesen pemantauan di Kuala Lumpur yang merekodkan bacaan tidak sihat iaitu 152.

Sementara itu, Di Johor, Tangkak merekodkan bacaan 153 manakala Segamat mencatatkan 103. - Getaran, 26 Ogos 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved