PUTRAJAYA - Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim memperkenan penamatan pengisytiharan darurat bagi seluruh Bahagian Serian, Sarawak hari ini susulan keadaan jerebu di kawasan itu tidak lagi berada pada paras bahaya.
Pejabat Perdana Menteri (PMO) menerusi kenyataan memaklumkan, perkenan tersebut dibuat setelah mengambil kira nasihat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pandangan Premier Sarawak, Tan Sri Dr Abang Abdul Rahman Zohari Abang Openg serta laporan agensi berkaitan mengenai bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU).
Bagaimanapun, keadaan jerebu di Sarawak masih belum pulih sepenuhnya dan bacaan IPU di beberapa kawasan, khususnya Serian dan Samarahan, masih berada pada tahap amat tidak sihat.
“Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Sarawak akan terus memantau keadaan dengan rapi dan penduduk di kawasan terjejas dinasihatkan supaya mengehadkan aktiviti di luar rumah serta sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa,” katanya pada Isnin.
Terdahulu, Sultan Ibrahim memperkenan pengisytiharan darurat di bahagian berkenaan pada Jumaat lalu selepas bacaan IPU melebihi 500.
Serian antara kawasan paling terjejas akibat jerebu di Sarawak apabila kualiti udara terus merosot susulan pergerakan asap daripada kebakaran hutan dan tanah di Kalimantan, Indonesia.
Keadaan itu menyebabkan asap merentasi sempadan dan menyelubungi beberapa kawasan di Sarawak, khususnya yang terletak berhampiran sempadan Malaysia-Indonesia.
Jerebu rentas sempadan itu dikaitkan dengan kebakaran hutan dan tanah yang berlaku di Indonesia, termasuk di Kalimantan, ketika negara berkenaan berdepan musim kebakaran yang semakin serius akibat keadaan panas dan kering.
Media sebelum ini melaporkan hampir 95,000 hektar kawasan terbakar di Indonesia pada Julai, manakala lebih 9,000 titik panas dikesan sepanjang Ogos dengan Kalimantan antara kawasan yang terjejas.






