
SHAH ALAM, 27 OGOS: Kualiti udara di Selangor semakin pulih apabila hanya Johan Setia merekodkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat setakat jam 2.50 petang ini.
Berdasarkan data portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), bacaan IPU Johan Setia turun kepada 145 berbanding 161 semalam.
Empat lagi kawasan yang mencatat tahap tidak sihat semalam kembali sederhana, dengan Shah Alam merekodkan IPU 99 berbanding 158, Banting (82 berbanding 155), Klang (82 berbanding 135) dan Petaling Jaya (89 berbanding 112).
Kuala Selangor pula merekodkan IPU 87, turut berada pada tahap sederhana.
Bacaan IPU antara 51 hingga 100 dikategorikan sederhana, manakala 101 hingga 200 adalah tidak sihat.
Sementara itu, Cheras di Kuala Lumpur mencatat IPU tidak sihat pada 152 setakat tempoh sama.
Di Sarawak, tiga kawasan turut berada pada tahap tidak sihat iaitu Samarahan (158), Sri Aman (157) dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serian (156).
Dalam perkembangan berkaitan, Pusat Meteorologi Khas ASEAN (ASMC) mengaktifkan Amaran Tahap 3 bagi selatan ASEAN susulan peningkatan risiko jerebu rentas sempadan.
ASMC memaklumkan keadaan titik panas dan jerebu di rantau itu semakin merosot berikutan cuaca kering berpanjangan.
Pemantauan satelit mengesan jerebu sederhana hingga tebal dari kelompok titik panas di Kalimantan, termasuk jerebu rentas sempadan dari Kalimantan Barat yang bergerak ke arah utara.





