Sembilan kawasan catat IPU tidak sihat - JAS

LocalEnvironment
27 Aug 2026 • 6:21 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Sembilan kawasan catat IPU tidak sihat - JAS
Bacaan IPU di beberapa kawasan di Pulau Pinang berada dalam kategori sederhana, antaranya sekitar 68 hingga 84, berdasarkan bacaan terkini. Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Sebanyak sembilan kawasan di seluruh negara merekodkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) pada tahap tidak sihat setakat pada jam 4 petang ini, dengan tiga daripadanya di Sarawak.

Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Jabatan Alam Sekitar (JAS), Azuri Azizah Saedon berkata, kemerosotan kualiti udara dikesan terutama di negeri Pantai Barat Semenanjung Malaysia, serta beberapa kawasan di Sarawak berikutan pergerakan asap jerebu dari pelbagai arah.

Dalam kenyataan pada Khamis, beliau berkata, Samarahan merekodkan bacaan tertinggi di Sarawak iaitu 158, diikuti Sri Aman (157) dan IPD Serian (156).

Di ibu negara, kawasan terjejas ialah Cheras (153) dan Batu Muda (107), manakala Selangor melibatkan kawasan Johan Setia (151) dan Shah Alam (103); selain Putrajaya (114) dan Nilai, Negeri Sembilan (109).

Beliau berkata, laporan oleh Pusat Meteorologi Khas ASEAN (ASMC) berdasarkan imej satelit Pentadbiran Lautan dan Atmosfera Kebangsaan (NOAA) pada Selasa merekodkan 266 titik panas di Kalimantan, 164 di Sumatera manakala empat titik panas dikesan dalam negara iaitu satu di Kelantan, dua di Sabah dan satu di Terengganu.

Susulan keadaan itu, Azuri Azizah berkata, JAS meningkatkan penguatkuasaan dan rondaan harian di kawasan yang berpotensi berlaku pembakaran terbuka di samping memantau bacaan IPU dari semasa ke semasa.

Pelan Tindakan Pembakaran Terbuka Kebangsaan (PTPTK) dan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan (PTJK) turut diaktifkan bagi menyelaras tindakan agensi kerajaan dalam mengatasi pembakaran terbuka dan situasi jerebu.

Ini termasuk persediaan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) untuk mengaktifkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana, sekiranya bacaan IPU melebihi 150 selama lebih 24 jam, serta langkah seperti menghentikan aktiviti luar darjah, menutup sekolah, tadika dan taska serta melaksanakan Operasi Pembenihan Awan (OPA).

Orang ramai boleh memantau bacaan IPU terkini menerusi laman sesawang APIMS DOE atau aplikasi MyJAS EQMS. - Bernama

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved