Jerebu: Ibu Bapa Bimbang Hantar Anak Ke Sekolah

LocalHealth & Fitness
7 Oct 2026 • 4:28 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Jerebu: Ibu Bapa Bimbang Hantar Anak Ke Sekolah

KUALA LUMPUR - Kebimbangan ibu bapa terhadap kesihatan anak semakin meningkat susulan keadaan jerebu yang bertambah buruk di beberapa kawasan negara, dengan sebahagian mereka memilih tidak menghantar anak ke sekolah selepas mengalami batuk.

Kebimbangan itu lebih ketara dalam kalangan ibu bapa yang mempunyai anak menghidap asma atau sensitif terhadap masalah pernafasan.

Beberapa pengguna Threads turut mempersoalkan sama ada sekolah wajar terus dibuka apabila kualiti udara berada pada tahap tidak sihat.

Seorang pengguna, @Ayshardzn, berkata nasihat supaya orang ramai mengehadkan aktiviti luar tidak banyak membantu sekiranya kanak-kanak masih perlu hadir ke sekolah.

“Anak-anak saya sudah batuk beberapa hari. Saya tahu cuti sekolah hampir tiba, tetapi sekolah sepatutnya ditutup lebih awal. Jerebu juga boleh dirasai di Kuala Lumpur,” katanya dalam satu hantaran.

Menurutnya, anak bongsunya yang mempunyai paru-paru sensitif turut dibiarkan berada di rumah selepas batuknya bertambah teruk.

Seorang lagi pengguna, @AisyaHasun_, mempersoalkan sama ada sekolah boleh diberikan cuti lebih awal berikutan keadaan jerebu yang teruk terutama pada waktu pagi.

Sementara itu, pengguna @shrnshrdn berkata dia memilih untuk tidak menghantar anaknya ke sekolah selepas anak berkenaan mula batuk.

“Saya biarkan anak berehat kerana sudah mula batuk dan mempunyai asma,” katanya.

Kebimbangan berkenaan timbul ketika bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) tidak sihat direkodkan di beberapa negeri.

Setakat jam 9 pagi hari ini, Johan Setia mencatatkan bacaan IPU tertinggi iaitu 190, diikuti Cheras dan Nilai masing-masing 189, Putrajaya (187) serta Shah Alam (180).

Petaling Jaya dan Banting pula masing-masing merekodkan bacaan 176, manakala Klang 169.

Di Johor, Tangkak mencatatkan bacaan 172, diikuti Segamat dan Pasir Gudang masing-masing 171, manakala Kluang 167.

Bacaan IPU antara 101 hingga 200 dikategorikan sebagai tidak sihat, manakala 201 hingga 300 berada pada tahap sangat tidak sihat.

Keadaan itu turut menyebabkan semua sekolah, tadika dan taska di daerah Batu Pahat ditutup hari ini.

Penutupan berkenaan dibuat selepas bacaan IPU di daerah itu mencecah 203 pada jam 8 malam semalam, yang dikategorikan sebagai sangat tidak sihat.

Bacaan tersebut bagaimanapun turun kepada kira-kira 197 pada jam 9 pagi hari ini, namun masih berada pada tahap tidak sihat.

Pegawai Daerah Batu Pahat merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah, Kamalludin Jamal, berkata penutupan itu selaras dengan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan serta garis panduan Kementerian Pendidikan (KPM).

Menurutnya, sekolah boleh melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) sekiranya diarahkan KPM, Jabatan Pendidikan Negeri Johor atau Pejabat Pendidikan Daerah Batu Pahat.

Ibu bapa dan penjaga juga akan dimaklumkan melalui saluran rasmi sekolah berhubung kaedah pembelajaran serta tugasan sepanjang tempoh penutupan.

Kamalludin berkata pembukaan semula sekolah bergantung kepada perkembangan kualiti udara dan arahan lanjut pihak berkuasa.

Dalam pada itu, ibu bapa di kawasan lain yang merekodkan bacaan IPU tidak sihat dijangka terus memantau keadaan dan mendapatkan maklumat rasmi berhubung operasi sekolah.

Orang ramai dinasihatkan merujuk kemas kini Jabatan Alam Sekitar (JAS) serta pihak berkuasa pendidikan dan tidak bergantung kepada maklumat tidak disahkan yang tersebar di media sosial. - Getaran, 7 Oktober 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved