Jerebu: Murid asrama disaran kekal di asrama – Fadhlina

LocalFamily & Parenting
12 Oct 2026 • 10:41 AM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

Image from: Jerebu: Murid asrama disaran kekal di asrama – Fadhlina

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek menasihatkan murid-murid asrama supaya terus berada di asrama sepanjang tempoh penutupan sekolah akibat jerebu, selagi keselamatan dan kebajikan mereka terjamin

KUALA LUMPUR: Murid-murid asrama disarankan untuk terus kekal berada di asrama sepanjang tempoh penutupan sekolah akibat jerebu, selagi keadaan selamat dan kebajikan murid terjamin, kata Menteri Pendidikan Datuk Seri Fadhlina Sidek.

Menerusi hantaran di Facebook beliau hari ini, beliau berkata langkah berkenaan disyorkan bagi mengelakkan ibu bapa terbeban dengan urusan logistik untuk mengambil dan menghantar anak berulang kali sepanjang tempoh penutupan berulang.

“Bagi murid asrama, selepas ini mereka disarankan untuk terus berada di asrama sepanjang penutupan sekolah akibat jerebu selagi keadaan selamat dan kebajikan terjamin. Kita tidak mahu ibu bapa terbeban dengan urusan mengambil dan menghantar anak berulang kali,” katanya.

Dalam pada itu, Fadhlina berkata beliau memahami keresahan ibu bapa dan telah meminta agar keputusan penutupan sekolah dimaklumkan seawal mungkin bagi memberi ruang kepada ibu bapa membuat persediaan. 

Bagaimanapun, beliau menjelaskan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) boleh berubah mengikut masa dan lokasi, dan penutupan sekolah perlu mengambil kira keadaan semasa di setiap kawasan.

“Pengurusan jerebu juga melibatkan tanggungjawab yang lebih luas. Jabatan Alam Sekitar berperanan memantau kualiti udara dan menangani isu pencemaran manakala Kementerian Kesihatan memberikan panduan berkaitan risiko kesihatan kepada masyarakat.

“KPM (Kementerian Pendidikan) pula memberi tumpuan kepada keselamatan murid dan pengurusan operasi sekolah berdasarkan keadaan semasa,” katanya. 

Fadhlina berkata pengalaman COVID-19 juga mengajar betapa besarnya kesan gangguan persekolahan terhadap pembelajaran anak-anak, justeru usaha menangani keciciran pembelajaran masih diteruskan terutamanya apabila kemudahan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) tidak sama bagi setiap murid.

“KPM akan terus memantau keadaan melalui JPN (Jabatan Pendidikan Negeri) dan PPD (Pejabat Pendidikan Daerah) serta memperbaiki penyampaian maklumat kepada ibu bapa. Terima kasih kepada semua ibu bapa atas pandangan dan kesabaran sepanjang kita berdepan situasi ini,” katanya. 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved