Jerebu paksa HSN kebangsaan ditangguh

10 Oct 2026 • 7:40 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Jerebu paksa HSN kebangsaan ditangguh

PETALING JAYA: Jerebu yang melanda beberapa kawasan negara memaksa Sambutan Hari Sukan Negara (HSN) Peringkat Kebangsaan 2026 di Bukit Jalil, yang dijadualkan berlangsung hari ini, ditangguhkan atas faktor kesihatan dan keselamatan.

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam kenyataan memaklumkan keputusan itu dibuat selepas perbincangan terperinci bersama agensi kerajaan berkaitan, dengan mengambil kira risiko terhadap peserta, penganjur dan orang ramai.

Menurut kenyataan itu, keputusan berkenaan dibuat atas nasihat dan persetujuan Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari, sebagai langkah proaktif bagi mengelakkan risiko kesihatan susulan keadaan kualiti udara semasa.

KBS turut menjunjung kasih atas keprihatinan dan titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, berhubung keadaan jerebu yang melanda negara.

“Tarikh baharu penganjuran HSN peringkat kebangsaan akan diumumkan kelak, tertakluk kepada pemulihan kualiti udara ke tahap selamat untuk aktiviti luar,” menurut kenyataan KBS.

Bagaimanapun, penganjuran HSN di peringkat negeri dan lokasi lain bergantung kepada situasi setempat serta ketetapan pentadbiran masing-masing.

“HSN ditangguhkan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Selangor, Johor, Kedah, Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Melaka. 

“Penganjuran di Pahang, Terengganu, Kelantan, Perlis, Perak, Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan pula diteruskan seperti dirancang,” menurut kenyataan itu.

Dalam pada itu, KBS menyeru orang ramai supaya mengehadkan aktiviti fizikal di luar rumah buat sementara waktu serta mematuhi nasihat dan panduan kesihatan yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) dari semasa ke semasa. – UTUSAN

The post Jerebu paksa HSN kebangsaan ditangguh appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved