SHAH ALAM - Sambutan Hari Sukan Negara (HSN) 2026 peringkat negeri dan daerah di Selangor dijadualkan berlangsung esok ditangguhkan, berikutan keadaan jerebu yang semakin membimbangkan.
Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor, Mohd Najwan Halimi berkata, keputusan itu dibuat dengan mengambil kira faktor keselamatan dan kesihatan orang ramai, khususnya peserta, petugas, sukarelawan, kanak-kanak serta golongan rentan.
Beliau berkata, bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di beberapa kawasan di Selangor mencecah tahap tidak sihat, sekali gus menimbulkan risiko kepada orang ramai sekiranya aktiviti fizikal diteruskan.
Menurutnya, kerajaan negeri mengutamakan kesejahteraan rakyat dan tidak akan meneruskan program sekiranya keadaan boleh menjejaskan kesihatan serta keselamatan orang ramai.

Beliau berkata, penganjuran HSN bertujuan memupuk budaya hidup aktif dan sihat dalam kalangan masyarakat, justeru pelaksanaannya perlu mengambil kira keadaan persekitaran yang selamat.
“Sambutan yang pada asalnya dijadualkan pada 10 Oktober ini ditangguhkan sehingga tarikh baharu dimaklumkan,” katanya hari ini.
Sehubungan itu, semua agensi pelaksana, pihak berkuasa tempatan (PBT), pejabat belia dan sukan daerah serta rakan penganjur diminta mengambil maklum penangguhan berkenaan dan membuat penyelarasan sewajarnya.
Orang ramai turut dinasihatkan supaya mengikuti pengumuman rasmi bagi mendapatkan maklumat terkini berhubung tarikh baharu penganjuran program itu.
Mohd Najwan berkata, kerajaan negeri akan terus memantau perkembangan situasi jerebu dan mengambil kira nasihat pihak berkuasa berkaitan sebelum menentukan tindakan selanjutnya.
“Penangguhan ini tidak bermakna komitmen kerajaan negeri terhadap pembangunan sukan diketepikan, sebaliknya mencerminkan keutamaan untuk memastikan setiap program sukan dilaksanakan dalam keadaan selamat tanpa mendedahkan orang ramai kepada risiko kesihatan yang tidak perlu,” katanya. - Getaran, 9 Oktober 2026






