johardy01/10/2026 - 08:00 Oleh AKMAL ADANAN suratpembaca@dagangnews.com Bayangkan seorang pelancong yang terbang beribu-ribu kilometer ke Malaysia untuk menikmati pemandangan bandar, pantai, alam semula jadi dan kepelbagaian budaya negara.
Namun, keadaan boleh berubah dalam sekelip mata.
Langit yang sepatutnya cerah bertukar kelabu. Aktiviti di luar terpaksa dikurangkan, jarak penglihatan semakin terbatas dan sebahagian daripada jadual perjalanan tidak lagi sesuai diteruskan.
Puncanya ialah jerebu.
Bagi pelancong, situasi ini mungkin bermakna perubahan jadual. Tetapi bagi pemain industri, kesannya boleh menjangkau lebih jauh.
Pembatalan tempahan bermakna hotel kehilangan tetamu, restoran kehilangan pelanggan, pengusaha pengangkutan dan tarikan kehilangan pendapatan, manakala pemandu pelancong serta peniaga kecil turut menerima kesannya.
Justeru, jerebu wajar dilihat bukan hanya sebagai isu alam sekitar dan kesihatan awam, tetapi juga sebagai gangguan yang boleh menjejaskan aktiviti serta pendapatan sektor pelancongan.
Persoalannya, apabila pelancong sudah berada di Malaysia, adakah perubahan keadaan semestinya bermakna perjalanan mereka perlu terganggu sepenuhnya?
Jawapannya mungkin tidak, jika industri mempunyai pelan alternatif.
Alihkan perjalanan mengikut keadaan
Ancaman jerebu boleh memberi tekanan kepada sasaran Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026).
Kajian empirikal krisis terdahulu oleh Economy and Environment Program for Southeast Asia (EEPSEA) menunjukkan pencemaran udara berupaya mengurangkan ketibaan pelancong sehingga 8%, dengan kerugian langsung kepada sektor melebihi RM300 juta dan kesan terhadap Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara mencecah RM1.5 bilion.
Angka ini menunjukkan bahawa gangguan alam sekitar boleh memberikan kesan ekonomi yang lebih luas.
Jadi, industri tidak boleh menunggu sehingga keadaan menjadi lebih buruk sebelum bertindak.
Salah satu pendekatan yang boleh dipertimbangkan ialah pelencongan destinasi secara dinamik atau dynamic rerouting.
Konsepnya mudah. Jika satu destinasi tidak lagi sesuai untuk aktiviti luar, perjalanan pelancong boleh disusun semula dengan menawarkan lokasi lain yang mempunyai keadaan udara lebih baik, berdasarkan maklumat semasa serta nasihat pihak berkuasa.
Sebagai contoh, sekiranya kawasan tertentu di Pantai Barat Semenanjung terjejas, pelancong boleh ditawarkan pengalaman di destinasi lain yang lebih sesuai, tertakluk kepada keadaan ketika itu.
Bagi pelancong antarabangsa yang sudah membayar penerbangan, penginapan dan kos perjalanan, pilihan sebegini lebih bermakna berbanding membatalkan keseluruhan perjalanan.
Pelancong domestik juga boleh menikmati manfaat yang sama kerana satu lokasi yang terjejas tidak semestinya menyebabkan keseluruhan percutian dibatalkan.
Tukar aktiviti, bukan hentikan percutian
Pelencongan destinasi sahaja belum mencukupi.
Industri juga perlu memikirkan apa yang boleh dilakukan oleh pelancong apabila aktiviti luar tidak lagi sesuai.
Perancangan ini sepatutnya dibuat lebih awal, bukannya hanya selepas pelancong mula membuat aduan.
Hotel misalnya, boleh menyediakan senarai aktiviti dalam bangunan dan pakej alternatif. Agensi pelancongan pula boleh membina jadual perjalanan yang lebih fleksibel supaya aktiviti luar boleh digantikan dengan pengalaman budaya, gastronomi atau rekreasi dalam bangunan.
Pilihannya sebenarnya banyak.
Muzium, galeri, pusat sains, taman tema tertutup, pusat beli-belah, persembahan kebudayaan, bengkel kraf dan kelas masakan boleh dimasukkan sebagai sebahagian daripada pakej alternatif.
Malah, pengalaman seperti membuat batik atau mempelajari masakan tradisional boleh memberikan nilai yang berbeza kepada pelancong.
Mereka bukan sekadar mencari aktiviti untuk mengisi masa lapang, tetapi berpeluang mengenali seni, budaya dan makanan tempatan dengan lebih dekat.
Pendekatan ini juga membuka ruang kepada Malaysia untuk memanfaatkan produk budaya, makanan dan warisan yang ada tanpa terlalu bergantung kepada aktiviti luar.
Pastikan maklumat sampai dengan tepat
Satu lagi perkara yang tidak boleh dipandang ringan ialah komunikasi.
Dalam situasi jerebu, pelancong perlu mengetahui kawasan yang terjejas, aktiviti yang wajar dielakkan serta pilihan yang masih boleh dilakukan.
Masalah timbul apabila maklumat yang diberikan terlalu umum.
Apabila hanya disebut bahawa Malaysia sedang dilanda jerebu, pelancong mungkin membuat tanggapan bahawa seluruh negara berada dalam keadaan yang sama.
Sedangkan keadaan kualiti udara boleh berbeza mengikut kawasan.
Maklumat yang lebih terperinci mengikut lokasi boleh membantu pelancong membuat keputusan perjalanan dengan lebih baik.
Teknologi dan data boleh menyokong usaha ini.
Perkembangan kecerdasan buatan dan pembelajaran mesin dalam sektor pelancongan membolehkan syarikat menganalisis data pelanggan, melihat corak permintaan, mengurus harga dan inventori serta menyediakan cadangan perjalanan yang lebih diperibadikan.
Dalam menghadapi jerebu, pendekatan berasaskan data boleh digunakan untuk memahami perubahan permintaan dan mengenal pasti pilihan alternatif mengikut keadaan destinasi.
Jangan biarkan pelancong tanpa pilihan
Akhirnya, persoalan utama bukan sekadar bagaimana mendapatkan pelancong untuk datang ke Malaysia.
Yang lebih penting ialah bagaimana mengurus pengalaman mereka apabila sesuatu yang tidak dijangka berlaku.
Pelancong antarabangsa yang sudah berada di negara ini tidak seharusnya hanya dimaklumkan bahawa aktiviti tertentu dibatalkan.
Begitu juga dengan pelancong domestik yang sudah membuat tempahan.
Mereka perlu diberikan pilihan yang munasabah.
Ketahanan sektor pelancongan dalam menghadapi jerebu bukan hanya bergantung pada kemampuan industri menarik pelancong, tetapi juga keupayaan memastikan pengalaman dan nilai ekonomi terus dapat diwujudkan ketika berlaku gangguan.
Kita mungkin tidak mampu mengawal jerebu.
Kita juga tidak mampu memastikan langit sentiasa biru.
Tetapi kita boleh menentukan bagaimana industri bertindak apabila keadaan berubah.
Pelancong yang datang ke Malaysia tetap wajar menerima layanan mesra dan pengalaman yang bermakna sepanjang berada di negara ini.
Dalam keadaan jerebu, mungkin sudah tiba masanya kita mengubah pendekatan daripada “batalkan perjalanan” kepada “ubah perjalanan”.
Itulah yang dimaksudkan dengan menyediakan pelan alternatif. - DagangNews.com




