Jerebu: Perak catat situasi terkawal, tiada peningkatan kes penyakit

LocalHealth & Fitness
18 Sep 2026 • 4:00 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Jerebu: Perak catat situasi terkawal, tiada peningkatan kes penyakit
Keadaan udara di beberapa lokasi di bandar raya Ipoh pada Rabu susulan jerebu seperti dikongsi di Facebook Pemerhati Lembah Kinta.

IPOH - Situasi jerebu di Perak ketika ini masih terkawal tanpa sebarang peningkatan kes penyakit berkaitan, kata Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional negeri, Datuk A Sivanesan.

Beliau berkata, pemantauan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak mendapati keadaan kesihatan awam setakat ini tidak menunjukkan sebarang lonjakan kes berkaitan jerebu.

"Sehingga kini, situasi masih terkawal dan tiada peningkatan kes penyakit berkaitan jerebu dilaporkan di negeri ini," katanya kepada pemberita selepas meninjau tapak kuari di Keramat Pulai, Simpang Pulai pada Jumaat.

Pada Khamis, sebanyak 31 kawasan di seluruh negara merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat dengan Tasek (Ipoh) mencatatkan bacaan tertinggi iaitu 186.

Berdasarkan paparan Sistem Pengurusan Kualiti Alam Sekitar (MyEQMS) Jabatan Alam Sekitar (JAS) setakat pukul 2.34 petang, Seri Manjung, Perak merekodkan bacaan kedua tertinggi iaitu 180, diikuti Kuching, Sarawak (169) dan IPD Serian, Sarawak (165).

Mengulas lanjut, Sivanesan berkata, sehingga jam 11 pagi pada Jumaat, lima stesen di Perak merekodkan bacaan IPU sederhana iaitu Seri Manjung (180), Tasek, Ipoh (185), Pegoh, Ipoh (160), Taiping (156) dan Tanjung Malim (154).

Jelas beliau, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui JKN Perak melaksanakan pemantauan berterusan menerusi sistem surveilans epidemiologi berkaitan penyakit akibat jerebu di semua peringkat.

Katanya, pemantauan itu melibatkan fasiliti sentinel jerebu yang telah dikenal pasti mengikut lokasi stesen kualiti udara Jabatan Alam Sekitar (JAS).

"Di Perak, fasiliti sentinel jerebu KKM melibatkan Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh, Klinik Kesihatan Simee dan Menglembu di Kinta, Klinik Kesihatan Kamunting di Larut Matang Selama, Klinik Kesihatan Sitiawan di Manjung serta Klinik Kesihatan Tanjung Malim di Muallim," katanya.

Beliau berkata, pemantauan di klinik kesihatan melibatkan kes asma, jangkitan saluran pernafasan atas (URTI) dan konjunktivitis, manakala di hospital pula melibatkan kes asma akut di unit kecemasan serta kes yang memerlukan kemasukan wad.

"Sehingga Minggu Epidemiologi 34, tiada peningkatan kes penyakit berkaitan jerebu direkodkan di Perak," katanya.

Dalam pada itu, tinjauan di sekitar bandar Ipoh mendapati orang ramai masih menjalankan aktiviti harian seperti biasa tanpa pemakaian pelitup muka yang ketara, termasuk dalam kalangan pelajar sekolah.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved