Jerebu Selangor: Kes konjunktivitis naik 81 peratus, asma 39.6 peratus

LocalHealth & Fitness
18 Sep 2026 • 9:00 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Jerebu Selangor: Kes konjunktivitis naik 81 peratus, asma 39.6 peratus

SHAH ALAM, 18 SEPT: Kes penyakit berkaitan jerebu di Selangor meningkat ketara apabila kualiti udara terus merosot, dengan konjunktivitis melonjak 81 peratus manakala asma bertambah 39.6 peratus.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS), Dr Ummi Kalthom Shamsudin berkata peningkatan itu direkodkan pada Minggu Epidemiologi (ME) 33 berbanding ME22, manakala kes jangkitan saluran pernafasan atas (URTI) turut meningkat 7.3 peratus.

“Kesemua data dipantau menerusi lima klinik kesihatan sentinel iaitu Klinik Kesihatan Seksyen 7 Shah Alam, Klinik Kesihatan Kota Damansara, Klinik Kesihatan Pandamaran, Klinik Kesihatan Telok Datok dan Klinik Kesihatan Kuala Selangor.

“Hospital Shah Alam pula menjadi hospital sentinel bagi pemantauan kes asma,” katanya kepada Media Selangor.

Beliau berkata pemantauan yang sebelum ini dilakukan secara bulanan kini ditingkatkan kepada setiap hari menerusi bilik gerakan susulan keadaan jerebu yang semakin buruk.

Pada masa sama, Dr Ummi Kalthom mengingatkan pesakit jantung, perokok serta individu yang mempunyai masalah paru-paru supaya lebih berhati-hati kerana partikel halus PM2.5 bukan sahaja menjejaskan sistem pernafasan, malah boleh memasuki saluran darah.

Menurutnya, pendedahan kepada partikel itu boleh menyebabkan keradangan, salur darah mengeras dan mengecut serta meningkatkan tekanan darah.

“Keadaan ini boleh mencetuskan serangan jantung atau strok.

“Jangan sesekali meremehkan jerebu hanya kerana kesannya tidak kelihatan dengan mata kasar. Ia bukan sekadar menyebabkan asma, sakit mata atau sakit tekak, tetapi boleh membawa kesan lebih serius,” katanya.

Beliau berkata PM2.5 mampu menembusi hingga ke bahagian hujung paru-paru yang mempunyai hubungan rapat dengan salur darah, sekali gus menjelaskan mengapa kesannya tidak terhad kepada sistem pernafasan.

Setakat jam 4 petang tadi, Johan Setia merekodkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) tertinggi di Selangor iaitu 187, diikuti Shah Alam (171), Petaling Jaya (163) dan Klang (160).

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved