‘Jerebu pun kami datang, merdeka setahun sekali’

31 Aug 2026 • 2:18 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: ‘Jerebu pun kami datang, merdeka setahun sekali’

GEORGE TOWN – Keadaan jerebu yang melanda Pulau Pinang ketika ini tidak menghalang orang ramai untuk hadir menyaksikan sambutan Hari Kebangsaan 2026 peringkat negeri di Padang Kota Lama di sini, hari ini.

Tinjauan Kosmo! mendapati, ada yang sanggup datang seawal pukul 5 pagi dengan menaiki motosikal dan bas semata-mata tidak mahu melepaskan peluang menyaksikan kemeriahan perbarisan dan sambutan hari kebangsaan yang diadakan setahun sekali.

Seorang pengunjung, Faizah Sarip, 39 berkata, sambutan kemerdekaan tetap diraikan namun, aspek keselamatan dan kesihatan tidak boleh dipandang ringan ketika keadaan jerebu yang tidak menentu.

Menurut ibu kepada empat anak itu, mereka anak beranak memilih untuk datang lebih awal bagi mendapatkan tempat yang sesuai selain mengelakkan daripada kesesakan lalu lintas.

“Kami datang ke sini seawal pukul 5 pagi tadi dari Bayan Lepas dan duduk di sini (bahu jalan) sebab tidak mahu lepaskan peluang melihat perarakan. Acara seperti ini hanya setahun sekali dan memang kami teruja untuk menyaksikannya.

“Walaupun jerebu, kami tetap berjaga-jaga dan pastikan keselamatan diutamakan,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini, tadi.

Katanya lagi, mereka terlebih dahulu memantau bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) sebelum keluar dari rumah.

Sementara itu, seorang lagi pengunjung, Iman Farok, 49, pula berkata, sambutan hari kebangsaan tetap memberi pengalaman berharga buat mereka meskipun dalam keadaan dilanda jerebu.

“Kami tidak puas menonton (sambutan kemerdekaan) menerusi televisyen. Kalau boleh, mahu rasa sendiri suasana sambutan merdeka dan tengok perbarisan depan mata.

“Cuma kita kena tahu keadaan diri sendiri dan jangan abaikan keselamatan, terutama ketika jerebu,” katanya yang datang dari Sungai Dua, di sini.

Setakat pukul 12.55 tengah hari tadi, tiga lokasi di Pulau Pinang mencatatkan bacaan IPU yang tidak sihat iaitu stesen Minden (154), Seberang Perai (156) dan Seberang Jaya (155), manakala Balik Pulau (66). -KOSMO! ONLINE

The post ‘Jerebu pun kami datang, merdeka setahun sekali’ appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved