Jerebu reda, Agong perkenan tamat darurat di Serian

LocalEnvironment
7 Sep 2026 • 1:29 PM MYT
MYBERITA
MYBERITA

Segalanya yang terkini, terbaik dan tepat untuk anda semua

Jerebu reda, Agong perkenan tamat darurat di Serian

KUALA LUMPUR – Selepas bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pernah melonjak sehingga 518, status darurat di seluruh bahagian Serian, Sarawak akhirnya ditamatkan selepas kualiti udara tidak lagi berada pada paras bahaya.

Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim hari ini memperkenan penamatan pengisytiharan darurat berkenaan susulan perkembangan terkini keadaan jerebu di kawasan itu.

Pejabat Perdana Menteri (PMO) dalam kenyataan memaklumkan, keputusan berkenaan dibuat selepas Seri Paduka Baginda mengambil kira nasihat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Menurut kenyataan itu, laporan daripada agensi berkaitan turut menunjukkan bacaan IPU di Serian sudah menurun dan tidak lagi berada pada tahap bahaya.

Namun, penamatan darurat itu tidak bermakna ancaman jerebu di Sarawak sudah berakhir sepenuhnya apabila beberapa kawasan masih merekodkan kualiti udara pada tahap amat tidak sihat.

“Bagaimanapun, keadaan jerebu di Sarawak masih belum pulih sepenuhnya dan bacaan IPU di beberapa kawasan, khususnya Serian dan Samarahan masih berada pada tahap amat tidak sihat.

“Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sarawak akan terus memantau keadaan dengan rapi dan penduduk di kawasan terjejas dinasihatkan supaya mengehadkan aktiviti di luar rumah serta sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa,” menurut kenyataan itu hari ini.

Jumaat lalu, Sultan Ibrahim memperkenan pengisytiharan darurat bagi seluruh bahagian Serian selepas keadaan jerebu di kawasan berkenaan mencapai tahap yang boleh membahayakan kesihatan dan keselamatan orang ramai.

Pengisytiharan itu dibuat ketika kualiti udara di Serian merosot teruk dengan stesen pemantauan merekodkan bacaan IPU setinggi 518, sekali gus berada jauh dalam kategori berbahaya.

Meskipun darurat kini ditamatkan, orang ramai terutama di Serian dan Samarahan masih dinasihatkan mengambil langkah berjaga-jaga, termasuk mengehadkan aktiviti luar sehingga keadaan kualiti udara kembali pulih.

The post Jerebu reda, Agong perkenan tamat darurat di Serian appeared first on MYBERITA.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved