Jerebu rentas sempadan: Prabowo mohon maaf kepada Malaysia, Singapura

LocalEnvironment
16 Nov 2026 • 11:22 AM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Jerebu rentas sempadan: Prabowo mohon maaf kepada Malaysia, Singapura

JAKARTA, 16 NOV: Presiden Indonesia Prabowo Subianto memohon maaf kepada Malaysia dan Singapura berhubung jerebu rentas sempadan yang menjejaskan kedua-dua negara, meskipun Indonesia giat berusaha menangani kebakaran berkenaan.

“Saya ingin memohon maaf kepada negara jiran, Malaysia dan Singapura, apabila kami berdepan kebakaran hutan yang sangat besar sehingga mengambil masa hampir empat bulan untuk dikawal.

“Jerebu akibat kebakaran itu merebak ke Malaysia dan Singapura,” kata beliau ketika sesi pleno Sidang Kemuncak ASEAN ke-49 di Manila, Filipina.

Kenyataan beliau dikongsikan menerusi saluran YouTube rasmi Sekretariat Presiden Indonesia pada lewat Ahad.

Prabowo berkata kerajaan Indonesia telah menggerakkan usaha untuk mengawal kebakaran itu, termasuk mengerahkan 71,000 anggota bomba.

Menurut beliau, seramai 16 anggota terkorban, ramai lagi cedera manakala operasi berkenaan turut mengakibatkan kehilangan dua buah helikopter.

Di sebalik kesukaran yang dihadapi, beliau berkata kebakaran berkenaan semakin terkawal, walaupun usaha pemadaman menjadi lebih mencabar akibat fenomena El Nino yang disifatkannya sebagai paling buruk dalam tempoh 50 tahun.

Mengenai tindakan penguatkuasaan, Prabowo berkata kerajaannya telah membatalkan 17 konsesi syarikat, manakala 26 syarikat sedang disiasat dan 11 lagi telah didakwa.

Beliau berkata sebanyak 23 syarikat lain turut disenaraikan untuk menghadapi pendakwaan, menjadikan keseluruhan 104 syarikat berada dalam siasatan polis.

“Sekali lagi, bagi pihak kerajaan dan rakyat Indonesia, kami memohon maaf sekiranya telah menyebabkan penderitaan kepada rakyat Singapura dan Malaysia,” kata beliau.

Sementara itu, Sekretariat Presiden dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa Indonesia turut merancang penubuhan sebuah agensi baharu serta memperkenalkan program-program bagi memperkukuh pencegahan kebakaran hutan secara sistematik, sekali gus memperluas pendekatan negara itu melangkaui usaha pemadaman dan mitigasi.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved