Jerebu Lembah Klang bukan berpunca asap rentas sempadan

LocalEnvironment
12 Aug 2026 • 4:20 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Jerebu Lembah Klang bukan berpunca asap rentas sempadan

PETALING JAYA – Fenomena jerebu yang mula ketara di beberapa kawasan Lembah Klang ketika ini disahkan berpunca daripada faktor tempatan dan bukannya akibat pergerakan asap rentas sempadan dari Sumatera.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Dr. Mohd Hisham Mohd Anip berkata, berdasarkan data Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang dicerap Jabatan Alam Sekitar (JAS) pada pukul 11 pagi semalam hanya satu stesen mencatatkan bacaan tidak sihat.

“Hanya satu stesen mencatatkan kualiti udara tidak sihat iaitu di Putrajaya dengan bacaan 120 IPU manakala lain-lain Kawasan di Lembah Klang mencatatkan bacaan sederhana pada pukul 11 pagi tadi.

“Walaupun semalam dilaporkan terdapat 59 aktiviti titik panas di Sumatra, ia tidak signifikan dan tidak membawa kepada pergerakan jerebu rentas
sempadan ke negara kita,” katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.

Mohd Hisham berkata, berdasarkan rekod pemantauan cuaca Indonesia terkini, tiada laporan cuaca jerebu yang berlaku di Sumatra setakat ini.

Sementara itu, beliau berkata, keadaan jerebu di Sarawak, khususnya Sri Aman, pula dipengaruhi faktor jerebu tempatan dan rentas sempadan.

“Model cuaca menunjukkan angin dari arah selatan telah membawa jerebu dari negara jiran di Kalimantan memasuki Sarawak, terutama kawasan selatan dan barat negeri itu.

“Bagaimanapun, berdasarkan arah pergerakan angin semasa dan jangkaan akan datang, cuaca berjerebu di Sarawak tidak akan bergerak ke arah Semenanjung,” katanya.

Mengulas kemungkinan keadaan jerebu di Lembah Klang bertambah buruk, beliau berkata, situasi berkenaan bergantung kepada faktor cuaca, arah pergerakan angin serta punca kebakaran tempatan sama ada dapat dikawal atau sebaliknya.

Katanya, asap daripada kenderaan dan aktiviti industri pengilangan turut menyumbang kepada keadaan berjerebu di Lembah Klang.

“Berdasarkan ramalan model cuaca terkini, hujan sementara masih dijangka berlaku di beberapa kawasan Lembah Klang pada waktu pagi bagi beberapa hari akan datang dan keadaan ini sedikit sebanyak dapat mengurangkan kesan jerebu.

“Pada masa sama, sekiranya aktiviti kebakaran di Sumatera terus meningkat tanpa dikawal, terdapat kemungkinan jerebu rentas sempadan bergerak memasuki kawasan barat Semenanjung membabitkan Lembah Klang, Negeri Sembilan dan Melaka.

“Ini berikutan arah tiupan angin dari timur Sumatera menuju ke Semenanjung,” katanya.- KOSMO! ONLINE

The post Jerebu Lembah Klang bukan berpunca asap rentas sempadan appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved