Jerebu: Sekolah Di 3 Negeri Beroperasi Seperti Biasa Esok, Aktiviti Luar Masih Digantung

LocalEnvironment
19 Oct 2026 • 10:00 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Jerebu: Sekolah Di 3 Negeri Beroperasi Seperti Biasa Esok, Aktiviti Luar Masih Digantung

KUALA LUMPUR - Semua sekolah di Melaka, Selangor dan Negeri Sembilan serta daerah Kuantan, Rompin dan Bentong di Pahang akan beroperasi seperti biasa esok, namun semua aktiviti luar ditangguhkan berikutan jerebu.

Johan Setia, Selangor mencatatkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tertinggi iaitu 169 setakat jam 4 petang ini, diikuti Alor Gajah, Melaka dengan bacaan 165. Nilai dan Seremban di Negeri Sembilan masing-masing merekodkan bacaan IPU 164.

Jabatan pendidikan negeri terlibat menasihatkan murid memakai pelitup muka serta meminta pihak pentadbiran sekolah memantau kualiti udara dari semasa ke semasa. 

Pemantauan khusus juga perlu diberikan kepada murid yang lebih berisiko mengalami kesan buruk akibat pencemaran udara.

Jabatan Pendidikan Melaka turut memaklumkan, ibu bapa atau penjaga yang bimbang terhadap tahap kesihatan anak masing-masing boleh membenarkan mereka tidak hadir ke sekolah, dengan syarat pihak sekolah dimaklumkan mengenai perkara itu.

Di Pahang, sekolah di Kuantan, Rompin dan Bentong juga akan meneruskan operasi seperti biasa dan sebarang perubahan berkaitan operasi sekolah akan dimaklumkan menerusi pejabat pendidikan daerah masing-masing.

Sementara itu, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melanjutkan tempoh pengisian markah bagi beberapa pentaksiran sekolah susulan gangguan akibat jerebu.

Tarikh akhir pengisian markah bagi Ujian Akhir Sesi Akademik (UASA) dan Peperiksaan Akhir Tahun (PAT/PASA) dilanjutkan dari 21 November kepada 28 November. 

Tempoh pengisian markah Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) pula dilanjutkan dari 30 November kepada 5 Disember.

Di Selangor, beberapa kawasan lain turut merekodkan bacaan IPU pada tahap tidak sihat, antaranya Petaling Jaya (158), Klang (156), Banting (154) dan Shah Alam (153).

Di Melaka, Bukit Rambai mencatatkan bacaan 164, manakala Bandaraya Melaka merekodkan 161. Port Dickson di Negeri Sembilan pula mencatatkan IPU 120.

Bagi Kuala Lumpur, Batu Muda merekodkan bacaan 164, diikuti Cheras (152), sementara Putrajaya mencatatkan 154.

Enam kawasan di Johor turut merekodkan bacaan tidak sihat, iaitu Tangkak (161), Pasir Gudang (157), Batu Pahat (156), Larkin (140), Kota Tinggi (128) dan Kluang (105).

Di Pahang, bacaan IPU di Rompin ialah 155, manakala Indera Mahkota di Kuantan mencatatkan 152.

Di Sarawak, Serian merekodkan bacaan 139 dan Sri Aman 113. Sementara itu, di Perak, Tasek Ipoh mencatatkan bacaan 136, Pegoh Ipoh (125) dan Seri Manjung (114).

Dalam perkembangan berkaitan, operasi pembenihan awan bermula di Johor hari ini bagi membantu menghasilkan hujan dan mengurangkan keadaan jerebu. 

Operasi sama dijadualkan berlangsung di Melaka, Negeri Sembilan, Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya dari 21 hingga 23 Oktober ini.

Jabatan Meteorologi Malaysia memaklumkan, operasi berkenaan dilaksanakan dengan kerjasama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).

Usaha itu menyusuli operasi pembenihan awan yang dilaksanakan di Sarawak, Kedah dan Perlis pada 3 hingga 5 September lalu susulan keadaan jerebu yang semakin buruk.

Berdasarkan Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), bacaan IPU antara 101 hingga 200 dikategorikan sebagai tidak sihat, manakala bacaan 201 hingga 300 berada pada tahap sangat tidak sihat. Bacaan melebihi 300 pula diklasifikasikan sebagai berbahaya.

Bacaan antara 51 hingga 100 dikategorikan sebagai sederhana, sementara bacaan sifar hingga 50 menunjukkan kualiti udara yang baik. - Getaran, 19 Oktober 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved