SHAH ALAM - Semua sekolah di bawah pentadbiran Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Hulu Langat, Kuala Langat, Petaling Perdana dan Sepang ditutup sepenuhnya esok berikutan perkembangan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU).
Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS) dalam kenyataan pada Isnin memaklumkan sementara itu, semua sekolah di daerah lain di negeri itu beroperasi seperti biasa.
"Penutupan ini hanya melibatkan semua sekolah di empat daerah berkenaan,” menurut kenyataan itu.
Susulan itu, pihak sekolah yang terlibat diminta memaklumkan perkara berkenaan kepada ibu bapa atau penjaga serta mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan keselamatan dan kesihatan murid sentiasa diutamakan.
"Warga pendidik dan ibu bapa dinasihatkan sentiasa mengikuti makluman rasmi daripada pihak berkuasa berhubung perkembangan kualiti udara dan arahan operasi sekolah yang berkaitan.
"Maklumat lanjut pengoperasian dan pembukaan semula sekolah akan dimaklumkan melalui saluran rasmi Kementerian Pendidikan (KPM) dan JPNS,” menurut kenyataan itu.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, semua sekolah agama negeri di bawah kendalian jabatan itu di daerah Hulu Langat, Kuala Langat, Sepang dan zon Petaling Perdana ditutup sehingga esok berikutan perkembangan yang sama.
Mohd Shahzihan berkata, ketetapan itu turut terpakai kepada sekolah Islam persendirian (SIP) di daerah dan kawasan berkenaan.
"Pelajar berasrama di Maahad Integrasi Tahfiz Selangor (MITS) Istana Bandar, Kuala Langat dan MITS Bagan Lalang, Sepang disaran untuk terus berada di asrama sepanjang penutupan sekolah," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Beliau berkata, bagi sekolah agama negeri di daerah dan zon lain, ia akan beroperasi seperti biasa.
"Untuk itu, pemakaian pelitup muka hendaklah diamalkan bagi mengelakkan gangguan kesihatan yang serius
"Warga sekolah, ibu bapa atau penjaga dinasihatkan supaya sentiasa mengikuti makluman rasmi daripada pihak berkuasa berhubung perkembangan kualiti udara dan arahan operasi sekolah yang berkaitan serta tidak membuat andaian berhubung pembukaan sekolah," katanya. - Bernama






