
SHAH ALAM, 15 OKT: Semua sekolah di tujuh daerah di Selangor membabitkan lapan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) tidak beroperasi esok.
Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS) memaklumkan penutupan itu melibatkan sekolah di bawah pentadbiran PPD Klang, Kuala Selangor, Kuala Langat, Hulu Langat, Gombak, Sepang, Petaling Perdana dan Petaling Utama.
Bagaimanapun, sekolah di bawah pentadbiran PPD Hulu Selangor dan Sabak Bernam beroperasi seperti biasa, namun semua aktiviti luar bilik darjah di kedua-dua daerah itu tidak dibenarkan.
"Ibu bapa, penjaga dan warga pendidikan diminta mengambil maklum pemakluman itu serta merujuk saluran rasmi JPNS untuk mendapatkan maklumat terkini.
"Sebarang perubahan status pengoperasian sekolah akan dimaklumkan melalui saluran rasmi jabatan berkenaan," menurut kenyataan JPNS hari ini.






