Jerebu: Sekolah Selangor, KL dan Putrajaya operasi seperti biasa 21 Oktober

LocalEnvironment
20 Oct 2026 • 5:11 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Jerebu: Sekolah Selangor, KL dan Putrajaya operasi seperti biasa 21 Oktober

SHAH ALAM, 20 OKT: Semua sekolah di Selangor akan beroperasi seperti biasa esok, namun semua aktiviti luar ditangguhkan susulan keadaan jerebu.

Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor menerusi kenyataan hari ini memaklumkan murid yang hadir ke sekolah digalakkan memakai pelitup muka sebagai langkah berjaga-jaga bagi mengurangkan risiko kesihatan akibat pencemaran udara.

Menurut JPN Selangor, ibu bapa atau penjaga yang bimbang keadaan jerebu boleh menjejaskan kesihatan anak turut dibenarkan untuk tidak menghantar mereka ke sekolah dengan syarat memaklumkan perkara itu kepada pihak pentadbiran.

“Ibu bapa atau penjaga yang bimbang tentang kesihatan anak-anak dibenarkan untuk tidak menghantar anak ke sekolah dengan syarat memaklumkan perkara tersebut kepada pihak sekolah,” menurut kenyataan itu.

JPN Selangor turut meminta pentadbir sekolah sentiasa memantau bacaanIndeks Pencemaran Udara (IPU) yang dikeluarkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) selain memberi perhatian khusus kepada murid berisiko tinggi.

Ibu bapa, penjaga dan warga sekolah juga dinasihatkan supaya mendapatkan maklumat terkini menerusi saluran komunikasi rasmi JPN Selangor atau pihak sekolah.

Sementara itu, menurut kenyataan Jabatan Pendidikan Negeri dan wilayah lain, sekolah di Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka, Perak, Pulau Pinang dan Pahang turut beroperasi seperti biasa esok.

Di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Melaka, semua aktiviti luar turut ditangguhkan, manakala Negeri Sembilan menetapkan aktiviti luar bilik darjah dihentikan sekiranya bacaan IPU melebihi 100.

JPN Negeri Sembilan turut memaklumkan Ujian Akhir Sesi Akademik (UASA) yang dijadualkan dalam tempoh itu perlu ditangguhkan dan dijadualkan semula oleh pihak sekolah susulan keadaan jerebu.

Di Pahang, sekolah di Rompin, Bentong dan Cameron Highlands beroperasi seperti biasa, namun semua aktiviti luar bilik darjah ditangguhkan, sementara sekolah di daerah lain meneruskan sesi persekolahan seperti biasa.

Bagi Pulau Pinang, murid digalakkan memakai pelitup muka dan minum air secukupnya, manakala pihak sekolah diminta memastikan bekalan air minuman mencukupi.

JPN Perak pula menggalakkan pemakaian pelitup muka selain membenarkan ibu bapa tidak menghantar anak ke sekolah sekiranya bimbang terhadap kesihatan mereka dengan syarat memaklumkan ketidakhadiran berkenaan.

Semua pihak turut dinasihatkan supaya sentiasa memantau perkembangan jerebu dan mematuhi nasihat pihak berkuasa bagi memastikan keselamatan serta kesihatan murid dan warga sekolah terus terpelihara.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved