Jerebu: Selangor kenakan denda RM1 juta bagi kes pembakaran terbuka

LocalEnvironment
26 Aug 2026 • 3:51 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Jerebu: Selangor kenakan denda RM1 juta bagi kes pembakaran terbuka
Selangor mengenakan denda sehingga RM1 juta terhadap individu yang melakukan pembakaran terbuka susulan keadaan jerebu dan kualiti udara semakin merosot. - Gambar hiasan

SHAH ALAM - Selangor mengenakan denda sehingga RM1 juta terhadap individu yang melakukan pembakaran terbuka susulan keadaan jerebu dan kualiti udara semakin merosot.

Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Selangor, Jamaliah Jamaluddin berkata, kerajaan negeri mengambil serius keadaan jerebu yang menjejaskan beberapa kawasan di negeri itu.

Menurutnya, kawasan pesisir Pantai Barat termasuk Johan Setia, Banting, Klang hingga Shah Alam mengalami kemerosotan kualiti udara selepas bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melepasi paras tidak sihat.

"Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) yang bersidang hari ini sudah mengaktifkan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan melalui Jabatan Alam Sekitar (JAS).

"Susulan keadaan kualiti udara yang tidak sihat, semua pihak berkuasa tempatan (PBT) akan meningkatkan pemantauan bagi mengelakkan kes pembakaran terbuka khususnya di kawasan perumahan, komersial dan perindustrian," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Jamaliah berkata, mana-mana pihak yang didapati melakukan pembakaran terbuka boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 29(A), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Katanya, jika disabitkan kesalahan, individu terbabit boleh didenda tidak kurang RM25,000 dan tidak melebihi RM1 juta atau dipenjarakan sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.

"Mereka juga boleh dikenakan denda tambahan tidak lebih RM5,000 sehari bagi kesalahan berterusan selepas satu notis diserahkan," tegas beliau.

Dalam pada itu, beliau berkata, orang ramai dinasihatkan mengurangkan pergerakan di luar rumah kecuali bagi urusan kerja atau persekolahan terutama mereka yang mempunyai masalah kesihatan berkaitan saluran pernafasan.

Katanya, sekolah di seluruh Selangor sudah diberikan notis langkah awalan bagi melindungi pelajar khususnya sekolah di kawasan yang mencatatkan IPU melebihi 100.

"Sekolah, tadika dan pusat penjagaan kanak-kanak perlu ditutup sekiranya bacaan IPU mencecah 200," jelas beliau.

Jamaliah berkata, Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri akan dipengerusikan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin pada Khamis bagi memperincikan langkah tambahan mengurangkan kesan jerebu kepada rakyat berdasarkan unjuran cuaca dan data terkini.

Beliau turut meminta orang ramai melaporkan segera sebarang aktiviti pembakaran terbuka kepada Hotline JAS Selangor di 1-800-88-2727 atau aplikasi eAduan JAS.

"Jerebu bukan sahaja menjejaskan kualiti udara, malah boleh mendatangkan kesan kesihatan terutama kepada kanak-kanak, warga emas, wanita mengandung serta pesakit jantung dan penyakit respiratori.

"Golongan ini dinasihatkan berada di dalam bangunan, mengehadkan aktiviti lasak di luar rumah dan menggunakan penutup hidung serta mulut jika perlu berada di luar," tambah beliau.

 

 

 

 

 

 

Jamaliah

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved