Sekolah tutup: MB minta ibu bapa patuhi arahan, tunggu makluman rasmi kaedah pembelajaran

LocalFamily & Parenting
9 Oct 2026 • 7:59 AM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Sekolah tutup: MB minta ibu bapa patuhi arahan, tunggu makluman rasmi kaedah pembelajaran

SHAH ALAM, 9 OKT: Ibu bapa di Selangor diminta mematuhi arahan penutupan semua sekolah hari ini susulan jerebu dan menunggu pemakluman rasmi daripada pihak sekolah mengenai kaedah pembelajaran.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata kerjasama ibu bapa penting bagi memastikan arahan yang dikeluarkan menerusi pekeliling Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dipatuhi.

Beliau berkata Kerajaan Negeri akan memantau keadaan dari semasa ke semasa berdasarkan perkembangan terkini.

“Kerajaan Negeri juga akan terus mendapatkan pandu arah daripada Kementerian Pendidikan Malaysia serta jabatan atau agensi Persekutuan yang berwenang bagi tujuan pemudahcaraan bersesuaian oleh Kerajaan Negeri kepada komuniti guru, pelajar serta ibu bapa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, semua sekolah di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) serta institusi pendidikan di bawah JAIS di seluruh Selangor diarahkan tutup mulai hari ini sehingga dimaklumkan semula berikutan keadaan jerebu.

JPNS menerusi kenyataan memaklumkan sekolah terlibat perlu melaksanakan pengajaran dan pembelajaran dari rumah (PdPR), manakala guru dan Anggota Kumpulan Pelaksana (AKP) diarahkan bekerja dari rumah tertakluk kepada arahan serta keperluan semasa.

Penutupan itu menyusuli titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim yang menzahirkan keprihatinan terhadap keadaan jerebu serta menekankan kepentingan keselamatan dan kesihatan murid.

Susulan itu, KPM mengumumkan langkah penutupan institusi pendidikan di kawasan terjejas bagi mengurangkan risiko pendedahan murid dan warga sekolah kepada pencemaran udara.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved