
Situasi jerebu di seluruh negara semakin membimbangkan apabila sebanyak 28 kawasan merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat setakat jam 9 malam ini.
Jumlah itu menunjukkan peningkatan mendadak berbanding hanya 19 kawasan yang merekodkan bacaan tidak sihat kira-kira empat jam sebelum itu.
Menurut data Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), stesen pemantauan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serian, Sarawak mencatatkan bacaan tertinggi dengan IPU 189.
Kuching pula merekodkan bacaan 178, diikuti Samarahan dengan 169.
Keadaan jerebu turut menunjukkan trend membimbangkan di beberapa negeri di Semenanjung apabila kualiti udara di Lembah Klang dan kawasan Pantai Barat terus merosot malam ini.
Di Selangor dan Wilayah Persekutuan, Johan Setia mencatatkan bacaan IPU 163, diikuti Shah Alam (153), Putrajaya (151), Kuala Selangor (144), Cheras (129), Batu Muda (119) dan Klang (110).
Bagi kawasan utara, Sungai Petani di Kedah merekodkan IPU 153, manakala Alor Setar mencatatkan bacaan 108.
Di Pulau Pinang pula, empat kawasan berada pada tahap tidak sihat iaitu Balik Pulau dengan bacaan 130, Minden (123), Seberang Perai (114) dan Seberang Jaya (103).
Baca juga:Sementara itu, Seri Manjung di Perak turut merekodkan bacaan tinggi iaitu 153, diikuti Tanjung Malim (147), Tasek Ipoh (126) dan Taiping (114).
Menurut data APIMS, beberapa kawasan lain turut mencatatkan IPU tidak sihat termasuk Bukit Rambai, Melaka dengan bacaan 126.
Di Johor, Kota Tinggi merekodkan bacaan 130 dan Segamat (122), manakala Nilai di Negeri Sembilan mencatatkan IPU 120 serta Seremban (107).






