
KUCHING - Semua institusi pendidikan di bawah Jabatan Pendidikan Sarawak diarah menghentikan aktiviti luar yang melibatkan murid sekiranya bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di kawasan masing-masing melebihi paras 100.
Arahan itu dikeluarkan sebagai langkah berjaga-jaga bagi melindungi kebajikan, kesihatan dan keselamatan murid susulan keadaan cuaca panas serta jerebu yang semakin memburuk di beberapa kawasan di negeri ini.
Pengarah Pendidikan Sarawak, Omar Mahli, berkata pihak sekolah turut diminta menangguhkan sebarang aktiviti luar sekiranya suhu menjadi terlalu tinggi, selain memantau dengan teliti aktiviti yang boleh mendedahkan murid kepada keadaan berkenaan.
“Sekolah hendaklah memastikan bekalan air minuman bersih mencukupi dan menggalakkan murid membawa bekalan air sendiri.
“Murid juga dinasihatkan memakai pelitup muka serta minum air secukupnya secara berkala bagi membantu mengawal suhu badan,” katanya.
Jelas beliau, pihak sekolah perlu menyediakan bekalan air minuman sekiranya berlaku situasi kritikal dan tiada sumber air lain yang boleh digunakan, bagi murid yang tinggal di asrama.
“Jabatan Pendidikan Sarawak turut menggesa semua institusi pendidikan supaya sentiasa berwaspada serta bekerjasama dengan klinik dan hospital berdekatan sekiranya terdapat murid yang mengalami komplikasi kesihatan akibat keadaan cuaca panas dan jerebu,” katanya.
Omar memberitahu, keadaan jerebu semakin buruk di beberapa kawasan Sarawak, dengan data pemantauan menunjukkan 15 lokasi merekodkan bacaan IPU pada tahap tidak sihat.
Serian merekodkan bacaan tertinggi iaitu 189, diikuti Samarahan dan Tebedu masing-masing 169, Kuching (165), Bintulu (159), Samalaju (155), manakala Sri Aman, Sibu dan Mukah masing-masing merekodkan bacaan 154.
Sarikei pula mencatatkan bacaan 153, Miri (144), ILP Miri (118) dan Lundu (107).
Dalam perkembangan berkaitan, Jabatan Pendidikan Sarawak turut menangguhkan Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah Sarawak (MSSS) ke-53 2026 yang dijadualkan berlangsung dari 10 hingga 14 Ogos di Stadium Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), susulan bacaan IPU tidak sihat di Samarahan.
Tarikh baharu kejohanan itu akan diumumkan kemudian. - Getaran, 11 Ogos 2026






