Sarawak arah aktiviti luar bilik darjah dihentikan

LocalEnvironment
11 Aug 2026 • 2:57 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

sarawak

PETALING JAYA: Aktiviti luar bilik darjah bagi sekolah yang berada di kawasan mencatatkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 100 diarahkan dihentikan serta merta di Sarawak.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS), Omar Mahli berkata, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan institusi pendidikan bawah seliaan jabatan itu diingatkan supaya sentiasa mengutamakan kebajikan, kesihatan dan keselamatan murid ketika berdepan keadaan cuaca panas serta jerebu.

Katanya, antara langkah yang perlu diambil adalah menangguhkan semua aktiviti luar bilik darjah sekiranya cuaca terlalu panas serta memantau aktiviti yang boleh mendedahkan murid kepada keadaan berkenaan bagi memastikan kesihatan mereka tidak terjejas.

“Bagi kawasan yang mencatatkan bacaan IPU melebihi 100, semua aktiviti di luar bilik darjah membabitkan murid hendaklah dihentikan,” katanya dalam satu kenyataan ini.

Sementara itu, dalam Taklimat Khas Pengurusan Jerebu yang disertai warga pendidikan Sarawak, Timbalan Pengarah, Sektor Pengurusan Sekolah JPNS, Dr. Les Anak Met menekankan keperluan pemantauan berterusan bacaan IPU di kawasan masing-masing serta pengurusan aktiviti luar bilik darjah dan kokurikulum.

Katanya, ia perlu dilakukan berdasarkan tahap IPU dan arahan semasa pihak berkuasa.

“Aspek keselamatan dan kesihatan murid serta warga sekolah turut diberi perhatian, khususnya terhadap murid yang mempunyai masalah kesihatan seperti asma dan penyakit berkaitan pernafasan.

“Selain itu, pihak sekolah turut diingatkan agar memastikan komunikasi dengan ibu bapa sentiasa jelas dan berkesan, manakala PPD perlu melaksanakan pemantauan secara berterusan terhadap sekolah di bawah seliaan masing-masing serta menyalurkan perkembangan semasa kepada JPN Sarawak,” katanya,

Pada masa sama, semua PPD dan sekolah diminta untuk terus peka terhadap perkembangan keadaan jerebu di kawasan masing-masing, mematuhi arahan pihak berkuasa serta mengambil tindakan yang sewajarnya secara proaktif berdasarkan situasi semasa.

Dalam perkembangan berkaitan, Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah Sarawak (MSSS) Kali Ke-53 Tahun 2026 yang dijadualkan berlangsung dari 10 hingga 14 Ogos di Stadium Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) ditangguhkan berikutan bacaan IPU pada paras tidak sihat di daerah Samarahan.

Setakat jam 2 petang ini, sebanyak 11 kawasan di Sarawak merekodkan bacaan IPU pada tahap tidak sihat, dengan stesen pemantau kualiti udara di IPD Serian mencatat bacaan tertinggi iaitu 190.

Berdasarkan maklumat yang dipaparkan di laman sesawang Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara (APIMS) Jabatan Alam Sekitar (JAS), 10 lagi stesen pemantauan turut merekodkan bacaan tidak sihat iaitu Samarahan dengan 169, Kuching (165), Bintulu (159), Samalaju (155) dan Mukah (154).

Sibu pula mencatat bacaan IPU 154, Sri Aman (154), Sarikei (153), Miri (146) dan Institut Latihan Perindustrian (ILP) Miri (123), dengan kesemua bacaan berkenaan berada dalam kategori tidak sihat iaitu antara 101 hingga 200.-UTUSAN

The post Sarawak arah aktiviti luar bilik darjah dihentikan appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved