Jerebu: Serian catat IPU sangat tidak sihat, 11 kawasan rekod tidak sihat

LocalEnvironment
11 Sep 2026 • 6:49 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Jerebu: Serian catat IPU sangat tidak sihat, 11 kawasan rekod tidak sihat

KUALA LUMPUR, 11 SEPT: Kawasan Serian di Sarawak kembali merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap sangat tidak sihat akibat jerebu setakat 5 petang ini.

Menurut portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemar Udara Malaysia (APIMS), daerah itu merekodkan bacaan IPU 218, manakala 11 kawasan lagi mencatatkan tahap tidak sihat melibatkan 10 kawasan di Sarawak dan satu di Johor iaitu Pasir Gudang (109).

Kawasan di Sarawak yang mencatatkan bacaan tidak sihat ialah Samarahan (186), Sri Aman (184), Kuching (180), Sarikei (160), Samalaju (158), Bintulu (157), Sibu (156), Mukah (154), Miri (152) dan Institut Latihan Perindustrian (ILP) Miri (136).

Secara keseluruhan, 47 kawasan di seluruh negara dilaporkan berada pada tahap sederhana, manakala sembilan kawasan mencatatkan bacaan baik.

Bacaan IPU sifar hingga 50 menunjukkan kualiti udara baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 301 ke atas (berbahaya).

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Jabatan Alam Sekitar (JAS) Azuri Azizah Saedon berkata berdasarkan laporan Pusat Meteorologi Khusus ASEAN (ASMC) semalam, 66 titik panas direkodkan di Kalimantan serta 42 di Sumatera, Indonesia berserta tompokan jerebu sederhana hingga tebal di kedua-dua wilayah itu dan tiada titik panas dikesan di Malaysia.

Beliau berkata JAS akan memberi perhatian terhadap kejadian kebakaran di beberapa kawasan di Sarawak dan Johor, khususnya melibatkan kawasan tanah gambut dan tapak pelupusan sampah, berikutan risiko kebakaran yang lebih tinggi dalam keadaan cuaca panas dan kering.

“Kebakaran di kawasan berkenaan berpotensi menghasilkan asap dan pelepasan bahan pencemar yang boleh menjejaskan kualiti udara setempat sekiranya tidak dikawal,” katanya.

Azuri Azizah berkata di Sarawak, kebakaran di Tapak Pelupusan Sampah Selalang, Sarikei melibatkan kawasan seluas 1.5 hektar dan sehingga hari ini kira-kira satu hektar (67 peratus) berjaya dipadamkan, manakala baki 0.5 hektar masih terbakar dan dalam tindakan pemadaman.

Beliau berkata di Johor pula kebakaran tanah gambut di sekitar Tanah Perkuburan Cina Bukit Pelali dan Jalan Bypass Sebana Cove-Punggai, Kota Tinggi melibatkan kawasan seluas 17 hektar dan setakat hari ini, 14.8 hektar (87 peratus) berjaya dipadamkan, manakala baki 2.2 hektar masih dalam tindakan pemadaman.

“Kebakaran tanah gambut di Kampung Sungai Buntu, Pengerang, Kota Tinggi melibatkan kawasan seluas 10.12 hektar berjaya dipadamkan sepenuhnya,” katanya sambil menambah JAS Sarawak dan Johor akan terus melaksanakan pemantauan di lokasi kebakaran, termasuk menggunakan dron.

Azuri Azizah berkata JAS akan terus mempertingkatkan pemantauan terhadap aktiviti pembakaran terbuka yang berisiko menjejaskan kualiti udara, selain menggerakkan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan (PTJK) bersama-sama agensi berkaitan bagi memantau dan menangani situasi dari semasa ke semasa.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved