Serian kembali catat IPU sangat tidak sihat

LocalEnvironment
11 Sep 2026 • 7:13 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Serian kembali catat IPU sangat tidak sihat

KUALA LUMPUR – Kawasan Serian di Sarawak kembali merekodkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) pada tahap sangat tidak sihat akibat jerebu setakat pukul 5 petang ini.

Menurut portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemar Udara Malaysia, daerah itu merekodkan bacaan IPU 218, manakala 11 kawasan lagi mencatatkan tahap tidak sihat masing-masing 10 kawasan di Sarawak dan satu di Johor iaitu Pasir Gudang (109).

Kawasan di Sarawak yang mencatatkan bacaan tidak sihat ialah Samarahan (186), Sri Aman (184), Kuching (180), Sarikei (160), Samalaju (158), Bintulu (157), Sibu (156), Mukah (154), Miri (152) dan Institut Latihan Perindustrian (ILP) Miri (136).

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Jabatan Alam Sekitar (JAS), Azuri Azizah Saedon berkata, berdasarkan laporan Pusat Meteorologi Khusus ASEAN semalam, sebanyak 66 titik panas direkodkan di Kalimantan dan 42 di Sumatera, Indonesia.

Katanya, JAS akan memberi perhatian terhadap kejadian kebakaran di beberapa kawasan di Sarawak dan Johor, khususnya kawasan tanah gambut dan tapak pelupusan sampah, berikutan risiko kebakaran lebih tinggi dalam keadaan cuaca panas dan kering.

Di Sarawak, kebakaran di Tapak Pelupusan Sampah Selalang, Sarikei melibatkan kawasan seluas 1.5 hektar dan sehingga hari ini kira-kira satu hektar (67 peratus) telah berjaya dipadamkan, manakala baki 0.5 hektar masih terbakar.

Di Johor pula, kebakaran tanah gambut di sekitar Tanah Perkuburan Cina Bukit Pelali dan Jalan Bypass Sebana Cove–Punggai, Kota Tinggi melibatkan kawasan seluas 17 hektar dan setakat hari ini, 14.8 hektar (87 peratus) berjaya dipadamkan, manakala baki 2.2 hektar masih dalam tindakan pemadaman.

“Kebakaran tanah gambut di Kampung Sungai Buntu, Pengerang, Kota Tinggi melibatkan kawasan seluas 10.12 hektar telah berjaya dipadamkan sepenuhnya,” katanya. – BERNAMA

The post Serian kembali catat IPU sangat tidak sihat appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved