Jerebu: Syarikat Malaysia tidak terbabit pembakaran

LocalEnvironment
17 Oct 2026 • 8:18 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Jerebu: Syarikat Malaysia tidak terbabit pembakaran

PUTRAJAYA: Tiada syarikat konsesi sawit dari Malaysia terbabit dalam aktiviti pembakaran yang mencetuskan jerebu di Indonesia dan beberapa negara lain ketika ini.

Jurucakap Kerajaan Madani, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad memaklumkan perkara itu disahkan menerusi semak silang industri dengan syarikat Malaysia yang mempunyai konsesi sawit di Indonesia.

“Semak silang dengan syarikat Malaysia yang mempunyai konsesi sawit menunjukkan aktiviti pembakaran itu berlaku di luar konsesi sawit milik syarikat Malaysia.

“Jemaah Menteri telah dimaklumkan bahawa, khususnya di Kalimantan, secara umum sudah lebih 101 hari tiada hujan. Jika ada pun, jumlahnya tidak banyak.

“Terdapat juga sebuah ladang milik syarikat Malaysia, iaitu Genting Plantations, yang menyaksikan api merebak dari luar dan bukannya berpunca daripada pembakaran di dalam ladang. Bagaimanapun, api itu telah dipadamkan dan kawasan ladang yang terjejas berkeluasan lima hektar,” katanya pada sidang akhbar selepas mesyuarat Jemaah Menteri di sini, hari ini.

Katanya, Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) akan meneruskan sesi libat urus khas dengan syarikat perladangan Malaysia yang mempunyai operasi di Indonesia.

Dalam perkembangan sama, Fahmi berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Kesihatan (KKM) akan menyelaraskan tindakan menangani isu jerebu, termasuk berkaitan pembukaan sekolah dan aktiviti pembelajaran.

Menurutnya, penyelarasan lebih menyeluruh turut diperlukan bagi menangani kesan jerebu terhadap aktiviti sukan di luar bangunan.

“KPM, KKM serta Kementerian Belia dan Sukan (KBS) telah memaklumkan Jemaah Menteri mengenai keperluan berkenaan.

“Penyelarasan itu meliputi tindakan berkaitan aktiviti sukan luar bangunan serta perkara yang melibatkan pembukaan sekolah dan tempat-tempat pembelajaran.

“Dalam pada itu, KPM dan KKM memaklumkan bahawa garis panduan yang digunakan ketika ini berlandaskan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan yang sedang berkuat kuasa,” katanya. – UTUSAN

The post Jerebu: Syarikat Malaysia tidak terbabit pembakaran appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved