Jururawat Off Duty Jadi Wira, Selamatkan Wanita Tercekik Di Kafe Pantai Hospital Ipoh

LocalHealth & Fitness
15 May 2026 • 9:11 AM MYT
The Malaysian Update
The Malaysian Update

Portal berita pilihan anda untuk isu semasa, politik, hiburan, & banyak lagi

Image from: Jururawat Off Duty Jadi Wira, Selamatkan Wanita Tercekik Di Kafe Pantai Hospital Ipoh

IPOH – Suasana tenang di sebuah kafe dalam kawasan Pantai Hospital Ipoh bertukar cemas apabila seorang wanita dipercayai tercekik makanan secara tiba-tiba ketika sedang menjamu selera.

Dalam detik mendebarkan itu, ahli keluarga mangsa dilihat panik sambil menjerit meminta bantuan selepas wanita terbabit mengalami kesukaran bernafas.

Situasi tersebut bagaimanapun berjaya dikawal hasil tindakan pantas seorang jururawat dikenali sebagai Siti Maisyura yang kebetulan berada berhampiran lokasi kejadian.

Menurut perkongsian tular di media sosial, jururawat berkenaan ketika itu sebenarnya sedang off duty selepas menamatkan syif malamnya dan hanya berada di kafe tersebut bagi menunggu waktu temu janji susulan anaknya.

Naluri Jururawat Tidak Pernah Padam

Menyedari berlaku kecemasan, Siti Maisyura terus meluru ke arah mangsa tanpa berlengah sebelum memberikan bantuan kecemasan menggunakan kaedah Heimlich maneuver.

Tindakannya yang tenang dan profesional berjaya mengeluarkan objek yang menyekat saluran pernafasan mangsa hanya dalam beberapa saat, sekali gus membolehkan wanita itu kembali bernafas seperti biasa.

Perkongsian mengenai kejadian itu kemudian mendapat perhatian ramai yang memuji keberanian serta kecekapan jururawat berkenaan walaupun berada di luar waktu bekerja.

Ramai netizen turut menyifatkan insiden tersebut sebagai bukti bahawa tugas seorang jururawat bukan sekadar terhad di dalam wad, malah naluri untuk membantu sentiasa ada walau ketika sedang berehat.

“Hebat nurse tu pantas bagi bantuan! Bagus lagi kalau orang ramai tahu choking first aid ni,” tulis seorang netizen.

Dalam pada itu, beberapa pengguna media sosial turut tampil memperbetulkan salah faham segelintir individu mengenai video tular tersebut yang memperlihatkan seorang warga emas bangun daripada kerusi roda.

Menurut mereka, tidak semua individu yang menggunakan kerusi roda mengalami lumpuh kerana ada antaranya sekadar mempunyai masalah untuk berjalan jauh atau berada dalam keadaan tertentu.

“Kerusi roda tak dicipta untuk orang lumpuh sahaja, ia digunakan secara fleksibel ikut keperluan,” jelas seorang pengguna.

Selain memuji tindakan Siti Maisyura, netizen turut bangga melihat masyarakat di lokasi kejadian yang pantas hadir menghulurkan bantuan ketika wanita itu mengalami kesukaran bernafas.

“Bangga tengok rakyat Malaysia prihatin. Bila kakak tu tercekik, semua yang dekat situ hadir beri bantuan,” kata seorang lagi netizen.

Sempena sambutan Hari Jururawat yang diraikan pada 12 Mei setiap tahun, pengorbanan dan keikhlasan petugas kesihatan khususnya jururawat terus dihargai masyarakat. Terima kasih kepada seluruh jururawat atas jasa, pengorbanan dan dedikasi anda dalam menyelamatkan nyawa tanpa mengira waktu dan keadaan. – The Malaysian Update

The post Jururawat Off Duty Jadi Wira, Selamatkan Wanita Tercekik Di Kafe Pantai Hospital Ipoh appeared first on The Malaysian Update.

View Original Article