
KUALA LUMPUR: Perkhidmatan jet peribadi yang beroperasi dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang dipercayai digunakan sindiket antarabangsa untuk membawa dadah dari Laos ke Manila selepas penerbangannya ditempah individu dari Filipina.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, siasatan awal mendapati tempahan penerbangan itu dibuat oleh seorang warga Filipina dipercayai dalang sindiket kira-kira seminggu sebelum kejadian iaitu pada 23 September lalu dengan bayaran AS$49,500 (RM210,000).
Menurutnya, berdasarkan manifes penerbangan, tempahan berkenaan pada awalnya dinyatakan untuk membawa barangan yang didakwa sebagai ‘vape’ dari Laos ke Manila.
“Bagaimanapun, kita percaya perkhidmatan itu telah digunakan sindiket bagi tujuan menyeludup dadah dari Laos ke Filipina.
“Kita masih menyiasat sama ada kegiatan itu hanya berlaku antara Laos dan Filipina atau terdapat juga cubaan membawa dadah berkenaan ke Malaysia,” katanya dalam sidang akhbar di Kontinjen Polis Kuala Lumpur di sini hari ini.
Menurutnya, pihak polis telah menyalurkan maklumat tersebut kepada Pihak Berkuasa Dadah Filipina (PDEA) bagi membantu mengesan individu berkenaan yang dipercayai kini berada di Filipina.
Katanya, siasatan kini turut bagi mengenal pasti sama ada pemilik syarikat penerbangan berkenaan mempunyai kaitan dengan sindiket atau mereka hanya menjadi mangsa penyalahgunaan perkhidmatan.
“Kita mempunyai beberapa butiran berkaitan individu yang membuat tempahan dan kita akan mengambil tindakan lanjut mengikut prosedur antarabangsa kerana ia membabitkan beberapa negara.
“Setakat ini, apa yang boleh saya sahkan, dadah itu bukan dari Malaysia, ia dari Laos untuk ke Filipina. Kita percaya laluan itu adalah dari kawasan segi tiga emas ke negara destinasi,” katanya.
Media kelmarin melaporkan empat individu termasuk seorang juruterbang rakyat Malaysia yang merupakan pemilik pesawat ditahan selepas disyaki mempunyai kaitan dengan penahanan pesawat persendirian dari negara ini yang terbabit dalam cubaan menyeludup 521 kilogram (kg) syabu dari Laos ke Filipina pada 1 Oktober lalu.
Juruterbang berusia 49 tahun itu ditahan bersama pembantu juruterbang warga Singapura berusia 47 tahun dan dua wanita rakyat Malaysia iaitu seorang doktor berusia 37 tahun dan jururawat berusia 33 tahun. –UTUSAN
The post Jet peribadi disewa RM210,000 oleh dalang sindiket Filipina appeared first on Utusan Malaysia.






