
KUALA LUMPUR – Sindiket dadah antarabangsa dipercayai mengubah taktik penyeludupan dengan menggunakan jet peribadi dan lapangan terbang kecil sebagai laluan transit susulan kawalan ketat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, perubahan modus operandi itu dikesan apabila pihak berkuasa memperketatkan kawalan serta pemantauan di KLIA.
“Mereka mula mengubah taktik dengan menggunakan lapangan terbang kecil sebagai transit dan terbaru, sindiket menggunakan jet peribadi,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian susulan penahanan empat individu oleh JSJN Bukit Aman di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang, baru-baru ini bagi membantu siasatan berkaitan kes berkenaan.
Bagaimanapun, keempat-empat individu terbabit yang terdiri daripada juruterbang, pembantu juruterbang, doktor dan jururawat telah dibebaskan selepas polis memperoleh maklumat berkaitan syarikat penerbangan serta tempahan penerbangan berkenaan.
Hussein berkata, dua daripada mereka merupakan warga Malaysia manakala dua lagi warga Singapura dan kesemuanya tidak mempunyai rekod lampau berkaitan kesalahan dadah.
Menurutnya, semakan mendapati syarikat perkhidmatan penerbangan persendirian yang beroperasi dari Subang itu baru mendapat kelulusan untuk beroperasi pada Julai lalu.
Katanya, syarikat yang ditubuhkan oleh empat juruterbang, masing-masing dua warga Malaysia dan Singapura, menawarkan perkhidmatan penerbangan persendirian bagi membawa penumpang kenamaan (VIP), barangan serta tujuan perubatan.
“Syarikat ini baru mendapat kelulusan untuk beroperasi pada Julai lalu dan setakat ini sudah menerima sembilan tempahan, kebanyakannya bagi tujuan VIP dan perubatan.
“Macam di Laos kelmarin adalah tempahan kelapan manakala tempahan kesembilan bagi membawa pesakit dari Manila ke Jepun,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, seorang pembantu juruterbang warga Malaysia kini ditahan di Laos dan turut didapati tidak mempunyai rekod kesalahan lampau.
Hussein berkata, pihaknya masih menunggu kebenaran pihak berkuasa Laos bagi membolehkan pegawai JSJN ke negara itu untuk mendapatkan maklumat lanjut, termasuk berkaitan rakyat Malaysia yang ditahan.
“Kita perlu menghormati prosedur dan siasatan pihak berkuasa Laos. Sebaik mendapat pelepasan, kita akan ke sana untuk mendapatkan maklumat lanjut berkaitan kes itu,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Sindiket guna jet peribadi elak kawalan ketat KLIA appeared first on Kosmo Online.






