Lulu Group tamatkan operasi runcit di Malaysia, kekal segmen borong

11/06/2025 - 17:50
Oleh 'AINA SYAZWINA
KUALA LUMPUR 11 Jun – Lulu Group menamatkan operasi semua pasar raya hipernya di Malaysia tetapi akan terus mengekalkan segmen borong di negara ini.
Perkara itu disahkan jurucakap operasi Lulu Group Malaysia yang menyatakan bahagian runcit telah ditutup, namun bahagian borong akan diteruskan.
Syarikat yang berpangkalan di Emiriah Arab Bersatu (UAE) sebelum ini menjalankan pelbagai promosi dan jualan lelong di semua cawangan sejak awal tahun, sebelum notis penutupan dipaparkan di pintu masuk cawangan pertamanya di CapSquare, Kuala Lumpur berkuat kuasa 9 Jun 2025.
Menurut siaran media pada Oktober 2022, syarikat itu memiliki enam cawangan runcit di Malaysia termasuk di Johor Bahru.
Setakat ini, laman web rasmi Lulu Hypermarket tidak dapat diakses.
Lulu Group memulakan operasi runcit di Malaysia pada 2016, dan ketika itu mengumumkan pelaburan RM1.3 bilion bagi membuka 10 cawangan dalam tempoh lima tahun.- DagangNews.com
standard

